Selamat Datang Ke Blog Cikgu Harliza

Tuesday, 12 July 2011

Beza kata baru dan baharu

SEMASA menyelak helaian sebuah majalah hiburan tempatan yang agak tinggi peredarannya, agak terkejut juga penulis apabila mendapati beberapa perkataan yang kurang tepat penggunaannya dari segi tatabahasa. Walaupun bukan sebuah majalah ilmiah, majalah hiburan juga memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat kerana bahasa pengantar yang digunakan ialah bahasa Melayu. Walaupun kesalahan tatabahasa dalam majalah tersebut tidak terlalu banyak dan penggunaan bahasa rojaknya juga kurang, namun kesalahan penggunaan bahasa Melayu yang ingin dinyatakan di sini tidak seharusnya berlaku, iaitu penggunaan perkataan baru, baharu, dan baharu-baharu ini. Sekadar mengambil beberapa contoh frasa yang terdapat dalam majalah tersebut, iaitu “Cik Meen berada di Kelantan baharu-baharu ini, “…pemain gitar terkenal Jamul Wilson ini baharu sahaja melahirkan…”, “…katanya yang baharu berusia 20 tahun” dan “…dalam sebuah “showcase” di Bangsar baharu-baharu ini”, sudah menggambarkan jenis kesalahannya.

Editor atau penulis majalah tersebut mungkin menyangka yang semua perkataan baru sekarang telah ditukar kepada baharu termasuk perkataan baru-baru ini menjadi baharu-baharu ini. Disebabkan semua perkataan baru dalam majalah tersebut diselaraskan menjadi baharu, maka penggunaan kata baharu bagi pelakon baharu dan pelapis yang baharu sememangnya betul dari segi tatabahasa.

Daripada beberapa petikan frasa di atas, jelas menunjukkan yang majalah tersebut kurang memahami penggunaan perkataan baru dan baharu. Justeru, mereka menukar semua perkataan baru kepada baharu termasuk yang tidak membawa maksud new.

Kata baru dan baharu merupakan kata adjektif yang digunakan untuk merujuk sesuatu yang belum dipakai atau belum lama dipakai, seperti basikal baharu dan padanan bahasa Inggerisnya ialah new. Manakala kata baru sebagai kata bantu digunakan dalam konteks “ tidak berapa lama dulu” atau “tidak berapa lama sebelum ini”, seperti baru-baru ini, baru tiba atau baru sedar. Padanan bahasa Inggerisnya ialah just dan baru-baru ini pula recently.

Masih ada pihak yang mungkin keliru dengan penggunaan perkataan tersebut termasuk pihak media. Walaupun sebenarnya mereka mengikuti perkembangan bahasa, namun mereka tidak benar-benar memahaminya.
Kita bebas menggunakan baharu atau baru untuk merujuk new, cuma yang penting penggunaan kata tersebut hendaklah selaras dan tidak bercampur aduk dalam sesebuah artikel, iaitu misalnya sama ada mereka ingin menggunakan Selamat Tahun Baharu atau Selamat Tahun Baru. Pihak media elektronik pula hendaklah menyebut perkataan baharu atau baru itu mengikut ejaannya.

Walaupun kesalahan bahasa ini nampak sebagai perkara kecil bagi sesetengah pihak media, kesalahan ini tidak boleh dipandang ringan. Mereka juga memainkan peranan dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan melalui tulisan. Mereka seharusnya sedar bahawa golongan muda dan khususnya remaja yang banyak membaca majalah sedemikian, dan tidak bermakna majalah hiburan boleh ditulis tanpa mengikut tatabahasa bahasa Melayu yang betul. Di samping menyampaikan maklumat, mereka juga perlu menghormati dan mendaulatkan bahasa kebangsaan kita.

Sikap ambil tahu atau berusaha memahami penggunaan perkataan yang betul dalam bahasa kebangsaan perlu sentiasa ada bagi setiap individu termasuk media, dan tidak berakhir selepas kita menamatkan alam persekolahan. Golongan pelajar antara yang ramai membaca majalah-majalah seumpama ini, manakala media cetak mahupun elektronik merupakan medium yang paling berkesan dari segi penyampaian maklumatnya kepada khalayak.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui laman sesawangnya menyediakan Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang terkandung pelbagai data sebagai rujukan. Pihak DBP melalui Bahagian Penguatkuasaan sentiasa melakukan pemantauan bahasa merangkumi pelbagai media dan membuat teguran jika terdapat penggunaan bahasa kebangsaan yang salah. Usaha yang dilakukan ini sentiasa berterusan demi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul, indah dan berkesan merangkumi semua bidang, aspek dan media dapat dilaksanakan. aliah@dbp.gov.my

aru atau baru itu mengikut ejaannya.

Walaupun kesalahan bahasa ini nampak sebagai perkara kecil bagi sesetengah pihak media, kesalahan ini tidak boleh dipandang ringan. Mereka juga memainkan peranan dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan melalui tulisan. Mereka seharusnya sedar bahawa golongan muda dan khususnya remaja yang banyak membaca majalah sedemikian, dan tidak bermakna majalah hiburan boleh ditulis tanpa mengikut tatabahasa bahasa Melayu yang betul. Di samping menyampaikan maklumat, mereka juga perlu menghormati dan mendaulatkan bahasa kebangsaan kita.

Sikap ambil tahu atau berusaha memahami penggunaan perkataan yang betul dalam bahasa kebangsaan perlu sentiasa ada bagi setiap individu termasuk media, dan tidak berakhir selepas kita menamatkan alam persekolahan. Golongan pelajar antara yang ramai membaca majalah-majalah seumpama ini, manakala media cetak mahupun elektronik merupakan medium yang paling berkesan dari segi penyampaian maklumatnya kepada khalayak.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui laman sesawangnya menyediakan Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang terkandung pelbagai data sebagai rujukan. Pihak DBP melalui Bahagian Penguatkuasaan sentiasa melakukan pemantauan bahasa merangkumi pelbagai media dan membuat teguran jika terdapat penggunaan bahasa kebangsaan yang salah. Usaha yang dilakukan ini sentiasa berterusan demi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul, indah dan berkesan merangkumi semua bidang, aspek dan media dapat dilaksanakan.

~HBTJ~

Monday, 16 May 2011

KARANGAN BAHAGIAN B

Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.

Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

Friday, 6 May 2011

PERIBAHASA

Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 4

1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

2. Darah daging
Maksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

4. meninggi diri
Maksud : Sombong

5. bermuka dua
Maksud : Tidak jujur.

6 baik hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

7. tulang belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

8. bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

9. bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

10. melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

11. duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

12. seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

13. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

14. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

15. terang hati
Maksud : Lekas pandai.

16. rendah hati
Maksud : Tidak sombong

17. murah hati
Maksud : Pemurah.

18. tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

19. Tangan kosong
Maksud : Hampa.



Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 5


1. lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

2. bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

3. anak dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

5. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah


6. indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

7. hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

8. bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

9. kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

11. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

12. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya..

13. memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

14. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

15. berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

16. yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

17. sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

18. bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

19. bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

20. yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

21. mencari jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

22. biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

23.sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

24. berbesar hati
Maksud : Gembira.

25. anak buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

26. tuan rumah
Maksud : tempat berlangsungnya sesuatu acara

27. yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

28. batu penghalang
Maksud : Halangan

29 untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

30. bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.

Thursday, 5 May 2011

KARANGAN BERPANDU SPM

KARANGAN CONTOH:
PELESTARIAN BANGUNAN BERSEJARAH

Ayat Rangsangan] Tidak dapat dinafikan, warisan negara yang telah diabaikan dewasa ini ialah bangunan bersejarah yang banyak terdapat di seantero negara. [Ayat Hurain] Jika ditinjau secara umum, kebanyakan bangunan bersejarah yang dipulihara akan disuaigunakan semula sebagai muzium, pejabat, tempat kediaman, premis perniagaan, dan kegunaan awam. [Ayat Huraian]Sejak UNESCO mengiktirafkan bandar Melaka dan Geogetown sebagai bandar warisan bersejarah, baru timbullah kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah.[Ayat Arahan] Persoalannya, apakah kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah dalam konteks Malaysia?

[Ayat Judul]Bangunan-bangunan bersejarah memang mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai. [Ayat Huraian]Melalui darmawisata ke tempat-tempat bersejarah, generasi muda dapat menghayati fakta-fakta sejarah yang dipelajari dalam buku teks Sejarah. [Ayat Contoh]Misalnya, pembinaan kota A Famosa (bermaksud “Yang Termasyhur” dalam bahasa Portugis) atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka terhadap penjajah. [Ayat Penyimpul] Dengan erti kata lain, fakta-fakta sejarah ini dapat memupuk nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda kita.

[Ayat Judul]Selain nilai sejarah, bangunan-bangunan bersejarah memaparkan seni bina awal yang begitu unik. [Ayat Huraian]Selain rumah kediaman, seni bina Melayu turut dizahirkan ke atas binaan-binaan lain seperti masjid, istana raja-raja, rumah wakaf, dan seni bina makam atau pusara. [Ayat Contoh]Ciri-ciri seni bina tradisional Melayu dapat dilihat pada bangunan-bangunan lama yang masih kekal ibarat tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas seperti Istana Kenangan di Perak, Istana Balai Besar di Kelantan, Masjid Tengkera di Melaka, dan sebagainya.[Ayat Penyimpul] Pendek kata, seni bina Melayu yang indah ini bukan sahaja unik malahan memberikan nilai estetika yang begitu tinggi dan seharusnya dipelihara untuk pengekalan atau pelestarian identiti bangsa.

[Ayat Judul]Tidak ketinggalan juga, bangunan bersejarah dapat menyumbang kepada kerancakan industri pelancongan negara kita. [Ayat Huraian]Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan bersejarah yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang unik dapat menjadi tarikan pelancong. [Ayat Contoh]Tamsilnya, para pelancong yang berpendidikan akan terpesona oleh zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan ke-16 apabila melihat Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul.[Ayat Penyimpul]Pendek kata, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

[Ayat Kesimpulan]Secara tuntas, pemuliharaan dan pelestarian bangunan bersejarah amat penting dalam penghayatan warisan dan khazanah negara. [Ayat Cadangan]Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. [Ayat Penilaian]Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. [Ayat Penilaian]Akhir kata, adalah tidak rasional jika bangunan-bangunan bersejarah ‘dikorbankan’ demi memberikan laluan kepada pembangunan negara. Hidup warisan Malaysia, hidup bangsa Malaysia!

KARANGAN BERPANDU SPM

Karangan Berpandu 1

Kaji gambar-gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang cara-cara rakyat Malaysia mengisi masa cuti. Panjang huraian anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.



RANGKA JAWAPAN

CARA-CARA RAKYAT MALAYSIA MENGISI MASA CUTI

1.0 Pendahuluan

- Kaya dengan tempat percutian menarik kerana kepelbagaian kaum.
- Mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menyumbang ekonomi negara.


2.0 Isi/fakta
2.1 Melawat pusat-pusat kebudayaan (IU)
- Rakyat akan mengetahui budaya kaum yang unik dan menarik. (HS1)
- Pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, dan India. (HS2)
- Mempunyai kebudayaan dan identiti yang tersendiri. (HS3)
- Mampu menjaga keharmonian tanpa berlakunya rusuhan kaum. (HS4)
- Aspek pemakanan, tarian, pakaian, musim perayaan, dan,sebagainya. (CTH)

2.2 Mengembara (IU)
- Sama ada ke luar bandar atau hutan. (HS1)
- Menambahkan pengalamaan dan menguji kecerdasan. (HS2)
- Pulau Langkawi mempunyai keindahan alam sekitar. (CTH)
- Perlu dipelihara untuk generasi akan datang dan menikmati kurniaan Iilahi. (HS3)
- Mendedah kehidupan di kawasan utan dan menguji kesabaran seseorang. (HS4)

2.3 Melawat pusat-pusat beli-belah (IU)
- Pada musim perayaan atau hujung minggu. (HS1)
- Ekonomi negara meningkat. (HS2)
- Membeli barangan buatan tempatan. (HS3)
- Menyahut seruan kerajaaan. (HS4)
- Pusat penjualan batik, cenderahati, kraf tangan, dan sebagainya. (CTH)



3.0 Penutup

- Matlamat kerajaan membentuk keluarga bahagia. (CDG)
- Merealisasikan harat murni kerajaan. (HP)









Contoh Jawapan Karangan Berpandu


Malaysia satu-satunya negara yang kaya dengan pelbagai hari percutian kerana kepelbagaian kaum. Rakyat Malaysia harus mengambil kesempatan untuk mengisi masa percutian ini dengan pelbagai cara kerana percutian bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim atau hubungan kekeluargaan, malah dapat menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi . Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia patut mengisi masa cuti bak kata peribahasa , jauh perjalanan, luas pengalaman.

Salah satu bentuk percutian yang digalakkan adalah percutian kebudayaan. Rakyat seharusnya mengisi masa cuti dengan melawat ke pusat-pusat kebudayaan. Hal ini demikian kerana dapat memudahkan rakyat negara ini mengetahui budaya kaum lain yang unik dan menarik. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, India, dan sebagainya mampu menjaga keharmonian dalam negara tanpa melakukan rusuhan kaum. Setiap etnik ini mempunyai budayanya yang tersendiri sekali gus mempamerkan identiti sebenarnya sesuatu kaum. Fenomena ini dapat dilihat dari aspek pemakanan, tarian, pakaian, musim perayaan, dan sebagainya. Misalnya, pada musim perayaaan atau mengadakan rumah terbuka, etnik yang berbilang bangsa akan saling menziarahi antara satu sama lain.

Selain itu, rakyat Malaysia juga, boleh mengisi masa cuti dengan mengembara ke pelbagai destinasi alam semula jadi yang terdapat di Negara kita.Rakyat harus mengambil kesempatan meneroka khazanah alam semula jadi seperti meyusur Sungai Pahang ke Taman Negara , Pahang, mendaki Gunung Kinabalu atau lain-lain destinasi alam semula jadi yang jarang dikunjungi. Hal ini dapat menambahkan pengalaman dan pengetahuan sekali gus memupuk sifat cinta akan alam semula jadi. Contohnya Pulau Langkawi masih lagi mempunyai keindahan alam sekitar yang belum dinodai oleh pembangunan negara yang begitu pesat. Khazanah alam semula jadi ini perlu dipelihara agar generasi akan datang dapat menikmati kurniaan Ilahi ini. Aktiviti mengembara ini mendedahkan kehidupan di kawasan hutan yang benar-benar menguji tahap kesabaran seseorang.

Di samping itu, pusat-pusat beli-belah juga menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk mengisi masa cuti yang banyak. Hal ini demikian kerana pada cuti musim perayaan atau cuti hujung minggu amat sesuai untuk pergi membeli-belah. Peribahasa Melayu ada menyatakan, sambil menyelam minum air amat relevan dalam hal ini. Hal ini demikian kerana dengan berbelanja di pelbagai kompleks beli-belah bertaraf antarabangsa, secara tidak langsung, ekonomi negara akan meningkat . Tambahan pula, rakyat akan membeli barangan buatan Malaysia dan menyahut seruan kerajaan Belilah Barangan Buatan Malaysia.”. Antara pusat beli-belah yang sering dikunjungi ialah pusat penjualan batik, kedai cenderahati, kraf tangan, dan sebagainya.

Sesungguhnya, rakyat Malaysia harus mengisi masa cuti dengan pelbagai cara kerana amalan percutian selaras dengan matlamat kerajaan membentuk keluarga bahagia menggenapi usaha “Rumahku, Syurgaku.” Dengan itu, marilah kita bersam-sama merealisasikan hasrat murni ini ke arah Malaysia yang “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.” Oleh itu, rakyat Malaysia diseru melancong dalam negeri sendiri yang begitu banyak dan menarik.
( 299 patah perkataan)