Selamat Datang Ke Blog Cikgu Harliza

Monday, 16 May 2011

KARANGAN BAHAGIAN B

Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.

Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

Friday, 6 May 2011

PERIBAHASA

Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 4

1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

2. Darah daging
Maksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

4. meninggi diri
Maksud : Sombong

5. bermuka dua
Maksud : Tidak jujur.

6 baik hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

7. tulang belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

8. bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

9. bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

10. melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

11. duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

12. seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

13. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

14. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

15. terang hati
Maksud : Lekas pandai.

16. rendah hati
Maksud : Tidak sombong

17. murah hati
Maksud : Pemurah.

18. tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

19. Tangan kosong
Maksud : Hampa.



Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 5


1. lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

2. bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

3. anak dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

5. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah


6. indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

7. hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

8. bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

9. kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

11. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

12. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya..

13. memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

14. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

15. berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

16. yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

17. sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

18. bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

19. bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

20. yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

21. mencari jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

22. biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

23.sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

24. berbesar hati
Maksud : Gembira.

25. anak buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

26. tuan rumah
Maksud : tempat berlangsungnya sesuatu acara

27. yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

28. batu penghalang
Maksud : Halangan

29 untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

30. bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.

Thursday, 5 May 2011

KARANGAN BERPANDU SPM

KARANGAN CONTOH:
PELESTARIAN BANGUNAN BERSEJARAH

Ayat Rangsangan] Tidak dapat dinafikan, warisan negara yang telah diabaikan dewasa ini ialah bangunan bersejarah yang banyak terdapat di seantero negara. [Ayat Hurain] Jika ditinjau secara umum, kebanyakan bangunan bersejarah yang dipulihara akan disuaigunakan semula sebagai muzium, pejabat, tempat kediaman, premis perniagaan, dan kegunaan awam. [Ayat Huraian]Sejak UNESCO mengiktirafkan bandar Melaka dan Geogetown sebagai bandar warisan bersejarah, baru timbullah kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah.[Ayat Arahan] Persoalannya, apakah kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah dalam konteks Malaysia?

[Ayat Judul]Bangunan-bangunan bersejarah memang mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai. [Ayat Huraian]Melalui darmawisata ke tempat-tempat bersejarah, generasi muda dapat menghayati fakta-fakta sejarah yang dipelajari dalam buku teks Sejarah. [Ayat Contoh]Misalnya, pembinaan kota A Famosa (bermaksud “Yang Termasyhur” dalam bahasa Portugis) atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka terhadap penjajah. [Ayat Penyimpul] Dengan erti kata lain, fakta-fakta sejarah ini dapat memupuk nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda kita.

[Ayat Judul]Selain nilai sejarah, bangunan-bangunan bersejarah memaparkan seni bina awal yang begitu unik. [Ayat Huraian]Selain rumah kediaman, seni bina Melayu turut dizahirkan ke atas binaan-binaan lain seperti masjid, istana raja-raja, rumah wakaf, dan seni bina makam atau pusara. [Ayat Contoh]Ciri-ciri seni bina tradisional Melayu dapat dilihat pada bangunan-bangunan lama yang masih kekal ibarat tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas seperti Istana Kenangan di Perak, Istana Balai Besar di Kelantan, Masjid Tengkera di Melaka, dan sebagainya.[Ayat Penyimpul] Pendek kata, seni bina Melayu yang indah ini bukan sahaja unik malahan memberikan nilai estetika yang begitu tinggi dan seharusnya dipelihara untuk pengekalan atau pelestarian identiti bangsa.

[Ayat Judul]Tidak ketinggalan juga, bangunan bersejarah dapat menyumbang kepada kerancakan industri pelancongan negara kita. [Ayat Huraian]Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan bersejarah yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang unik dapat menjadi tarikan pelancong. [Ayat Contoh]Tamsilnya, para pelancong yang berpendidikan akan terpesona oleh zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan ke-16 apabila melihat Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul.[Ayat Penyimpul]Pendek kata, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

[Ayat Kesimpulan]Secara tuntas, pemuliharaan dan pelestarian bangunan bersejarah amat penting dalam penghayatan warisan dan khazanah negara. [Ayat Cadangan]Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. [Ayat Penilaian]Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. [Ayat Penilaian]Akhir kata, adalah tidak rasional jika bangunan-bangunan bersejarah ‘dikorbankan’ demi memberikan laluan kepada pembangunan negara. Hidup warisan Malaysia, hidup bangsa Malaysia!

KARANGAN BERPANDU SPM

Karangan Berpandu 1

Kaji gambar-gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang cara-cara rakyat Malaysia mengisi masa cuti. Panjang huraian anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.



RANGKA JAWAPAN

CARA-CARA RAKYAT MALAYSIA MENGISI MASA CUTI

1.0 Pendahuluan

- Kaya dengan tempat percutian menarik kerana kepelbagaian kaum.
- Mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menyumbang ekonomi negara.


2.0 Isi/fakta
2.1 Melawat pusat-pusat kebudayaan (IU)
- Rakyat akan mengetahui budaya kaum yang unik dan menarik. (HS1)
- Pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, dan India. (HS2)
- Mempunyai kebudayaan dan identiti yang tersendiri. (HS3)
- Mampu menjaga keharmonian tanpa berlakunya rusuhan kaum. (HS4)
- Aspek pemakanan, tarian, pakaian, musim perayaan, dan,sebagainya. (CTH)

2.2 Mengembara (IU)
- Sama ada ke luar bandar atau hutan. (HS1)
- Menambahkan pengalamaan dan menguji kecerdasan. (HS2)
- Pulau Langkawi mempunyai keindahan alam sekitar. (CTH)
- Perlu dipelihara untuk generasi akan datang dan menikmati kurniaan Iilahi. (HS3)
- Mendedah kehidupan di kawasan utan dan menguji kesabaran seseorang. (HS4)

2.3 Melawat pusat-pusat beli-belah (IU)
- Pada musim perayaan atau hujung minggu. (HS1)
- Ekonomi negara meningkat. (HS2)
- Membeli barangan buatan tempatan. (HS3)
- Menyahut seruan kerajaaan. (HS4)
- Pusat penjualan batik, cenderahati, kraf tangan, dan sebagainya. (CTH)



3.0 Penutup

- Matlamat kerajaan membentuk keluarga bahagia. (CDG)
- Merealisasikan harat murni kerajaan. (HP)









Contoh Jawapan Karangan Berpandu


Malaysia satu-satunya negara yang kaya dengan pelbagai hari percutian kerana kepelbagaian kaum. Rakyat Malaysia harus mengambil kesempatan untuk mengisi masa percutian ini dengan pelbagai cara kerana percutian bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim atau hubungan kekeluargaan, malah dapat menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi . Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia patut mengisi masa cuti bak kata peribahasa , jauh perjalanan, luas pengalaman.

Salah satu bentuk percutian yang digalakkan adalah percutian kebudayaan. Rakyat seharusnya mengisi masa cuti dengan melawat ke pusat-pusat kebudayaan. Hal ini demikian kerana dapat memudahkan rakyat negara ini mengetahui budaya kaum lain yang unik dan menarik. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, India, dan sebagainya mampu menjaga keharmonian dalam negara tanpa melakukan rusuhan kaum. Setiap etnik ini mempunyai budayanya yang tersendiri sekali gus mempamerkan identiti sebenarnya sesuatu kaum. Fenomena ini dapat dilihat dari aspek pemakanan, tarian, pakaian, musim perayaan, dan sebagainya. Misalnya, pada musim perayaaan atau mengadakan rumah terbuka, etnik yang berbilang bangsa akan saling menziarahi antara satu sama lain.

Selain itu, rakyat Malaysia juga, boleh mengisi masa cuti dengan mengembara ke pelbagai destinasi alam semula jadi yang terdapat di Negara kita.Rakyat harus mengambil kesempatan meneroka khazanah alam semula jadi seperti meyusur Sungai Pahang ke Taman Negara , Pahang, mendaki Gunung Kinabalu atau lain-lain destinasi alam semula jadi yang jarang dikunjungi. Hal ini dapat menambahkan pengalaman dan pengetahuan sekali gus memupuk sifat cinta akan alam semula jadi. Contohnya Pulau Langkawi masih lagi mempunyai keindahan alam sekitar yang belum dinodai oleh pembangunan negara yang begitu pesat. Khazanah alam semula jadi ini perlu dipelihara agar generasi akan datang dapat menikmati kurniaan Ilahi ini. Aktiviti mengembara ini mendedahkan kehidupan di kawasan hutan yang benar-benar menguji tahap kesabaran seseorang.

Di samping itu, pusat-pusat beli-belah juga menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk mengisi masa cuti yang banyak. Hal ini demikian kerana pada cuti musim perayaan atau cuti hujung minggu amat sesuai untuk pergi membeli-belah. Peribahasa Melayu ada menyatakan, sambil menyelam minum air amat relevan dalam hal ini. Hal ini demikian kerana dengan berbelanja di pelbagai kompleks beli-belah bertaraf antarabangsa, secara tidak langsung, ekonomi negara akan meningkat . Tambahan pula, rakyat akan membeli barangan buatan Malaysia dan menyahut seruan kerajaan Belilah Barangan Buatan Malaysia.”. Antara pusat beli-belah yang sering dikunjungi ialah pusat penjualan batik, kedai cenderahati, kraf tangan, dan sebagainya.

Sesungguhnya, rakyat Malaysia harus mengisi masa cuti dengan pelbagai cara kerana amalan percutian selaras dengan matlamat kerajaan membentuk keluarga bahagia menggenapi usaha “Rumahku, Syurgaku.” Dengan itu, marilah kita bersam-sama merealisasikan hasrat murni ini ke arah Malaysia yang “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.” Oleh itu, rakyat Malaysia diseru melancong dalam negeri sendiri yang begitu banyak dan menarik.
( 299 patah perkataan)

KARANGAN BERPANDU SPM

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang perlunya bangunan bersejarah di Negara kita di pelihara dan dipulihara. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan



Rangka Karangan berpandu

Bangunan bersejarah perlu dipelihara dan dipulihara

1.0 Pendahuluan

- Negara kita banyak mempunyai bangunan bersejarah.(AR)
- dibina sejak zaman penjajahan (HS)
- Kota A Famosa, Kota Margherita, Fort Cornwallis, bangunan Sultan Abdul Samad. (CTH)
- bangunan bersejarah perlu dipelihara dan dipulihara.(AA)

2.0 Isi (sebab-sebab )

2.1 Generasi muda dapat mengetahui dan mempelajari sejarah dengan lebih berkesan.(IU)
- bangunan besejarah memberi gambaran tentang sejarah negara
- Kota A Famosa dan bangunan Stadthuys – mengingatkan kita sejarah Melaka.(CTH)
- Dapat melihat kesan sejarah dengan lebih dekat.(HS).
- Dapat menambah ilmu pengetahuan .(R)

2.2 Salah satu cara untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.(IU)
- untuk menjadi tatapan dan penghayatan generasi muda.(HS)
- generasi muda diingatkan tentang sejarah perjuangan nasionalis untuk memerdekakan negara.(HS)
- Kota Pengkalan Kempas di Negeri Sembilan, Kota A Famosa, Kota Cornwallis – mengingatkan kita tentang usaha mempertahankan kerajaan Melaka dan Pulau Pinang pada zaman penjajahan.(CTH)
- Oleh itu bangunan besejarah penting untuk memupuk semangat patriotisme.(R)

2.3 Bangunan bersejarah mempunyai nilai ekonomi tersendiri. (IU)
- untuk perkembangan sektor pelancongan.(HS)
- menjadi salah satu destinasi yang dikunjungi para pelancong.(HS)
- kehalusan seni bina dan keunikan reka bentuk menjadi tarikan para pelancong (HS)
- Bangunan Sultan Abdul samad di Kuala Lumpur perlu dikekalkan kerana kaya dengan unsur seni.(CTH)
- dapat menjana pendapatan negara.(R)

3.0 Penutup
- perlu dipelihara
- jika rosak perlu dibaiki segera
- menjadi khazanan bangsa yang penting
- untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang



CONTOH KARANGAN

Negara kita sememangnya banyak mempunyai bangunan bersejarah. Antaranya ialah kota A Famosa, Kota Margherita, Fort Conrwallis, Bangunan Sultan Abdul Samad dan lain-lain. Bangunan bersejarah ini telah dibina sejak zaman penjajahan iaitu bermula pada zaman penjajahan Portugis pada abad ke-15 hinggalah zaman penjajahan British pada abad ke-19. Pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan bersejarah ini adalah penting agar bangunan tersenut dapat menjadi warisan masyarakat dan khazanah Negara yang tidak ternilai harganya.

Melalui pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan bersejarah, genrasi muda dapat mengetahui dan mempelajari sejarah Negara dengan lebih berkesan di samping dapat merasai keadan tamadun pada zaman silam. Bangunan-bangunan bersejarah ini dapat mmberi gambaran kepada kita tentang sejarah negara. Di Melaka misalnya, terdapat bangunan tersohor seperti Kota A Famosa yang dibina oleh Portugis dan Bangunan Stadthuys yanag dibina oleh Belanda dapat mengingatkan kita tentang kebesaran dan kehebatan Melaka sebagai sebuah kerajaan Mlelayu tersohor pada zamannya. Dengan melawat bangunan bersejarah itu kita juga dapat melihat sendiri kesan peninggalan penjajah. Hal ini penting untuk kita menambah pengetahuan tentang sejarah negara.

Selain itu, pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan bersejarah juga penting sebagai salah satu cara untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi masa kini. Dalam konteks ini, bangunan bersejarah perlu dikekalkan untuk menjadi tatapan dan penghayatan generasi muda . Sebagai contoh Kota A Famosa di Melaka dan Kota Cornwallis di Pulau Pinang dapat mengingatkan kita tentang usaha mempertahankan kedaulatan negeri Melaka dan Pulau Pinang pada zaman penjajahan dahulu. Tinggalan sejarah ini boleh mengingatkan generasi muda tentang segala pahit maung yang dilalui oleh pejuang nasionalis ketika memerdekakan tanah air dan secara tidak langsung dapat mencelikkan kita agar sentiasa berwaspada terhadap musuh Negara.
-
Bangunan bersejarah juga mempunyai nilai ekonominya tersendiri, khasnya untuk perkembangan sektor pelancongan. Bangunan bersejarah ini menjadi salah satu destinasi yang dikunjungi oleh para pelancong sama ada dari dalam atau luar Negara. Kehalusan seni bina dan keunikan reka bentuk bangunan tersebut mampu menjadi tarikan para pelancong untuk berkunjung ke tempat-tempat tersebut. Sebagai contoh bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur mempunyai unsure seni yang tiada tolok bandingnya. Kedatangan pelancong tersebut bukan sahaja dapat mengharumkan nama negara tetapi juga dapat menjana sumber pendapatan Negara. Hal ini kerana para pelancong , terutamanya pelancong asing akan berbelanja di Negara kita semasa mereka bercuti di sini. Oleh yang demikian Negara kita boleh mengaut keuntungan yang banyak daripada sektor pelancongan.

Kesimpulannya, bangunan-bangunan bersejarah perlu dijaga dan jika berlaku kerosakan, usaha-usaha untuk membaik pulih perlu dilakukan segera. Hal ini kerana bangunan bersejarah ialah khazanah bangsa yang penting untuk tatapan dan penghayatan generasi sekarang dan generasi akan datang.

Sunday, 1 May 2011

KONFLIK WATAK UTAMA NOVEL RENYAH

1. Datuk Dolhi mengalami konflik dengan kelima-lima orang anaknya.
Contohnya kelima-lima anaknya menolak pelawaan/ ajakan/ pelawaannya untuk mengurus perniagaannya. Masing-masing seronok dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Hasnol dengan kerjayanya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik. Amera sebagai pendidik, Ilham sibuk sebagai aktivis alam sekitar, Mukhlis aktif dalam gerakan dakwah dan Dani pula seronok dengan bidang seni muzik yang diceburinya.

2. Datuk Dolhi berselisih pendapat dengan rakan-rakan Mukhlis tentang perjuangan dakwah dan bidang perniagaan.
Bagi mereka perniagaan Datuk Dolhi berbaur riba dan maksiat. Manakala Datuk Dolhi pula beranggapan kegiataan dakwah yang diusahakan itu benar-benar merosakkan nama baik Islam kerana tiada pekerjaan dan mundar-mandir tanpa hala tuju.

3. Datuk Dolhi mengalami tekanan perasaan yang teruk akibat laporan tentang berita tentang anaknya Hasnol. Laporan akhbar memuatkan kisah Hasnol lari ke luar negara kerana terlibat dengan rasuah benar-benar membuatkan Datuk Dolhi malu kerana menjejaskan imejnya. Rumah Datuk Dolhi diserbu oleh pegawai Badan Pencegah Rasuah. Datuk Dolhi turut disiasat.

4. Datuk Dolhi benar-benar kecewa dan terkedu dengan peristiwa penangkapan Dani. Rumah Datuk Dolhi sekali lagi menjadi sasaran wartawan untuk mendapatkan berita apabila Dani ditangkap oleh polis kerana memiliki najis dadah dan ditahan dilokap.

5. Datuk Dolhi berhadapan dengan situasi muram perniagaannya. Oleh sebab prestasi syarikat Dolhi-Albert Holding makin menurun kerana masalah dalaman keluargan Datuk Dolhi. Datuk Dolhi mengumumkan Wahi sebagai penggantinya. Tindakan Datuk Dolhi ini menyakitkan hati Albert lalu bertindak menarik diri sebagai rakan kongsi perniagan

KARANGAN SPM

TEMA POPULAR 2011:

1. GEJALA BULI
2. RANCANGAN REALITI
3. SEMANGAT KEJIRANAN
4. TABUNGAN KELUARGA
5. TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI
6. ISU PENGANGKUTAN AWAM
7. ISU PEKERJA ASING
8. ISU LUMBA HARAM
9. BANGUNAN BERSEJARAH
10. ISU PELANCONGAN (PELANCONGAN DOMESTIK / PELANCONGAN
KESIHATAN)
11. PROGRAM PERTUKARAN PELAJAR
12. MALAYSIA SEBAGAI PUSAT PENDIDIKAN ANTARABANGSA
13. ULASAN DRAMA KOMSAS
14. PERPADUAN / SATU MALAYSIA
15. JENAYAH SIBER / JENAYAH ANTARABANGSA
16. PEMERDAGANGAN ORANG
17. POLISI SEKOLAH SELAMAT
18. AMALAN MEMBACA
19. PERSEDIAAN KE ALAM KERJAYA
20. ISU BAHASA- DASAR MBMMBI
21. MALAYSIA SEBAGAI HAB HALAL