Selamat Datang Ke Blog Cikgu Harliza

Saturday, 12 November 2011

JAWAPAN LATIH TUBI PECUTAN TERAKHIR PRA-SPM: SOALAN RUMUSAN

Soalan 1: Rumusan
[30 markah]
Pendahuluan Markah
Petikan membincangkan fungsi/tugas/tanggungjawab pusat sumber sekolah.
Isi-isi tersurat [4 -12 markah] – [Peranan]
1. menyediakan, menyimpan, mengedarkan, dan memberi perkhidmatan
koleksi bahan
2. meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan tahap intelektual warga sekolah
3. mengadakan kolaborasi dengan Panitia Bahasa Melayu dalam program peningkatan akademik
4. meningkatkan pencapaian dalam proses pengajaran dan pemelajaran.
5. mewujudkan keadaan pelajar secara kendiri.
6. membantu dan membaiki kualiti pendidikan negara.
7. membolehkan proses capaian maklumat dilaksanakan dengan berkesan.
8.menghasilkan bahan-bahan yang mudah dan murah, tetapi berkesan
9. memajukan sumber pelbagai media bagi kegunaan guru dan pelajar.
Isi- isi tersirat (4 – 12 markah): [Sebab-sebab kurang dikunjungi]
1. tidak sesuai dengan jadual waktu
2. suasana tidak sesuai /kondusif
3. koleksi bahan tidak mencukupi /tidak menarik /
4. ruang bacaan yang sempit
5. peraturan pusat sumber sekolah kurang mesra pelanggan
6. waktu untuk berkunjung ke pusat sumber yang sangat terhad /kekangan masa
7. kurang promosi /tiada galakan /tiada penghargaan
8. kurang aktiviti di peringkat pusat sumber
Kesimpulan
Semua pihak haruslah memanfaatkan pusat sumber sekolah supaya dapat memupuk
budaya membaca

Soalan 2 (a) – Petikan Umum
(i) Maksud:
- tempat atau pusat untuk mendapatkan maklumat /
pengetahuan
(ii) Kelebihan

- menjadi pelajar yang berdedikasi

- berfikiran matang
- berdisiplin
- dapat mengembangkan bakat serta kebolehan berdasarkan minat
masing-
masing.
Maksimum: 3 markah
(iii) Cara-caranya:
- memperbanyak koleksi buku /pelbagai disiplin ilmu
- mempelbagaikan bahan rujukan seperti buku, CD, video, carta, dll.
- mewujudkan suasana persekitaran yang kondusif /selesa
- memudahkan proses pinjaman buku-buku rujukan
- memanjangkan tempoh masa pinjaman buku
- menganjurkan pelbagai pertandingan / kempen / ganjaran
Maksimum: 4 markah

LATIH TUBI PECUTAN TERAKHIR PRA-SPM: SOALAN RUMUSAN

Soalan 1 : Rumusan

[ 30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang peranan pusat sumber sekolah dan sebab-sebab pusat sumber sekolah kurang dikunjungi. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejak dahulu lagi sesebuah sekolah dianggap tidak lengkap jika tidak mempunyai satu perpustakaan. Perpustakaan itu pula dianggap sebagai gedung ilmu dan sumber pengetahuan. Hal ini bermakna, kalau sebelum ini perpustakaan merupakan pusat pengumpulan bahan bercetak dan bilik alat merupakan tempat pengumpulan bahan-bahan alat pandang dengar, sekarang kedua-dua tempat ini diintegrasikan untuk menjadi pusat sumber sekolah.

Pusat sumber sekolah berfungsi sebagai pusat untuk menyediakan, menyimpan, mengedarkan, dan memberi perkhidmatan koleksi bahan. Sama ada bersaiz sekadar sebuah bilik darjah ataupun berdiri megah berbentuk bangunan sendiri, pusat sumber sekolah berpotensi besar dalam meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan tahap intelektual warga sekolah, khususnya murid. Usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu yang menjadi satu daripada fokus tahunan pusat sumber sekolah. Pusat sumber sekolah dapat mengadakan kolaborasi dengan Panitia Bahasa Melayu dalam program peningkatan akademik.

Pusat sumber sekolah juga merupakan tempat berlakunya segala kegiatan yang bertujuan untuk meningkatkan pencapaian dalam proses pengajaran dan pemelajaran. Konsep pusat sumber sekolah ini adalah berkaitan dengan konsep pendidikan moden, iaitu untuk mewujudkan keadaan belajar secara kendiri. Dengan yang demikian, setiap individu boleh menentukan kehendak pelajarnya dan merancang sesuatu bagi memupuk keperluan dan kehendak yang tersendiri. Pusat sumber sekolah sememangnya dapat membantu dan membaiki kualiti pendidikan negara agar dapat memberikan asas yang kukuh bagi membentuk masyarakat berpengetahuan. Oleh itu, golongan pendidik sentiasa diingatkan supaya menghasilkan pengajaran yang berkesan.

Pada masa yang sama, pusat sumber sekolah perlu dilengkapi dengan alat bahan, dan kemudahan. Pusat sumber yang lengkap dan menepati kehendak pelanggannya membolehkan proses capaian maklumat dilaksanakan dengan berkesan. Antaranya termasuk penyediaan keratan akhbar dan koleksi rencana daripada majalah. Selain itu, pusat sumber sekolah mampu menghasilkan bahan-bahan yang mudah dan murah, tetapi berkesan kepada pelanggannya. Jadi, pusat sumber sekolah disediakan bertujuan untuk memajukan sumber pelbagai media bagi kegunaan guru dan pelajar.

Tegasnya, dapatlah dikatakan bahawa peranan pusat sumber sekolah sangat luas. Di samping memupuk minat gemar membaca dan membuat penyelidikan, diharapkan apabila pelajar dapat memanfaatkan pusat sumber sekolah, mereka akan dapat menjadi pelajar yang berdedikasi, berfikiran matang, berdisiplin, dan dapat mengembangkan bakat, serta kebolehan mereka berdasarkan minat dan kecenderungan masing-masing.

(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Pusat Sumber Meningkatkan Penguasaan Bahasa Melayu’ oleh Zuridah Hanim Md. Akhir, Pelita Bahasa, April 2011)
Soalan 2 : Pemahaman
Soalan 2 (a)Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


(i) Berikan maksud rangkai kata gedung ilmu. [2 markah]

(ii) Nyatakan kelebihan-kelebihan sekiranya seseorang pelajar itu gemar membaca dan membuat penyelidikan di pusat sumber sekolah?

[3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara-cara untuk meningkatkan minat pelajar menggunakan pusat sumber sekolah? [4 markah

KARANGAN- PERANAN PUSAT SUMBER SEKOLAH


Pendahuluan
Perpustakaan ialah tempat rujukan.  Murid sekolah mestilah memanfaatkan perpustakaan.
Perpustakaan ditubuhkan di sekolah, daerah, negeri, institusi pendidikan tinggi, dan sebagainya.
Terdapat pelbagai kebaikan jika murid/remaja mengunjungi perpustakaan.
Peribahasa/kata-kata indah : membaca jambatan ilmu.

Isi 1
Murid dapat membaca pelbagai jenis bahan bacaan.  Perpustakaan menyediakan pelbagai bahan rujukan spt.  buku teks, buku ulasan, buku ulang kaji, kertas model, surat khabar, jurnal, majalah, dll.
Bahan-bahan ini dapat meningkatkan pengetahuan murid/remaja. Khususnya murid yang akan menduduki peperiksaan utama spt PMR, SPM, STPM.
Bahan disediakan secara percuma dan boleh dipinjam oleh murid.
Peribahasa :  Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Isi 2
Murid/remaja dapat belajar dalam keadaan tenang di perpustakaan.
Suasana di dalam perpustakaan sangat selesa (kondusif), tenang, tidak bising.
Perpustakaan dilengkapi dengan pendingin hawa/penyaman udara.
Perpustakaan menetapkan peraturan supaya pengunjung tidak membuat bising. Membantu murid/remaja belajar secara berkesan.
Peribahasa :  sambil menyelam minum air.

Isi 3.
Murid/remaja dapat menggunakan masa secara bermanfaat.
Dapat mengelakkan murid/remaja terlibat dalam aktiviti yang tidak berfaedah spt melepak, terlibat dengan gejala sosial, dadah, berpeleseran, dll.
Ibu bapa tidak berasa bimbang akan keselamatan anak-anak remaja mereka terutama pada masa cuti atau hujung minggu.
Peribahasa :  Masa itu emas.

Isi 4.
Murid/remaja dapat memupuk semangat perpaduan dengan lebih berkesan.
Perpustakaan dapat dijadikan tempat interaksi remaja daripada pelbagai kaum.
Mewujudkan kumpulan perbincangan kecil untuk belajar bersama-sama.
Memberi peluang kepada murid/remaja mengenali budaya, agama, bangsa-bangsa yang berbeza-beza.
Peribahasa :  Tak kenal maka tak cinta.

Isi 5.
Memberikan peluang murid/remaja mengakses ilmu melalui pelbagai kemudahan elektronik.
Perpustakaan menyediakan kemudahan internet.  Murid dapat mengakses bahan-bahan pembelajaran seperti nota, soalan-soalan latihan, soalan ramalan, dan sebagainya.
Contoh laman sesawang bercorak akademik ialah tutor.com.my,  skorA.com.my, laman-laman sesawang guru cemerlang, dan sebagainya.
Peribahasa : kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.

Kesimpulan
Banyak kebaikan perpustakaan yang perlu dimanfaatkan oleh masyarakat, khususnya remaja.
Semua pihak hendaklah mengambil peluang untuk memantapkan pengetahuan dengan mengunjungi perpustakaan.
Remaja yang tidak mengunjungi perpustakaan akan ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Remaja yang berpengetahuan dapat bersaing dengan semangat 1 Malaysia.

PECUTAN AKHIR KOMSAS-NOVEL

PECUTAN TERAKHIR NOVEL PRA-SPM 
FOKUS UTAMA~ WATAK UTAMA,LATAR TEMPAT DAN PERSOALAN
Novel Renyah
Watak utama - Datuk Dolhi
1.         Usahawan yang berjaya
–         Datuk Dolhi mempunyai empayar perniagaan secara usaha sama dengan Albert Lee dalam perniagaan Dolhi-Albert Holding.
2.         Bertanggungjawab
–          Beliau masih memberi nafkah kepada anaknya, Wahi melalui ibu mentuanya walaupun isterinya, Mastura telah meninggal dunia.
3.         Penyayang
-           Datuk Dolhi tetap sayang kepada semua anaknya walaupun anak-anaknya itu banyak menimbulkan masalah kepadanya kerana mencemarkan nama baiknya.
4.         Penyabar
-           Datuk Dolhi tetap bersabar dengan pelbagai kerenah anak-anaknya yang bermasalah.
5.         Berani
-           Beliau telah membuat keputusan untuk melantik Wahi sebagai penggantinya dalam Dolhi Albert Holding walaupun dia tahu bahawa Albert Lee ingin menguasai syarikat tersebut.
6.         Rajin
-           Beliau rajin mengikuti seminar keusahawanan dan membaca buku-buku yang berkaitan dengan motivasi.
7.         Berwawasan jauh
-           Sebagai usahawan yang berwawasan jauh, beliau sentiasa mencari rakan kongsi baharu sambil melihat peluang niaga.
-           Beliau merancang untuk menubuhkan kolej swasta sendiri yang berorientasikan keusahawanan.
8.         Mempunyai daya ingatan yang kuat
-           Datuk Dolhi masih mengingati lagu-lagu Jepun semasa zaman persekolahannya dahulu.

Novel Sutera Dalam Lukisan
1.         Bertanggungjawab
-           Bujei mencuba untuk menyelamatkan ibunya daripada kebakaran di rumahnya, tetapi tidak berjaya kerana api marak terlalu cepat dan dihalang oleh orang ramai.
2.         Berani
-           Bujei dengan berani menerkam bapa tirinya, Harun kerana ingin membela ibunya, Fatimah yang diterajang sehingga pengsan.
3.         Suka berangan-angan
-           Bujei suka berangan-angan agar dia berubah suatu hari nanti, hidup senang, bekerja, dan bergaji besar
4.         Rajin
-           Biasanya pagi-pagi Bujei akan menunggu sesiapa sahaja yang pergi menoreh getah dan berharap mereka akan mempelawanya untuk menolong di kebun semata-mata untuk mendapat upah
5.         Mempunyai harga diri
-           Ketika Bujei berada di kedai Pak Sulong, Bujei tidak suka meminta-minta daripada pelanggan yang minum di situ kerana dia masih mempunyai harga diri.         
6.         Merendah diri
-           Bujei keberatan untuk berjumpa Adila apabila disuruh oleh Mak Lamah kerana dia merasakan dirinya bodoh, tetapi akhirnya dia memberanikan diri untuk bersemuka dengan Adila
7.         Pandai berjimat
-           Bujei tidak menggunakan wang pemberian Wak Senen yang besar nilainya malah disimpannya dengan rapi di dalam kendi di rumahnya.
8.         Berbakat dalam bidang nyanyian
-           Bujei mendendangkan lagu Bahtera Merdeka semasa majlis perkahwinan Same’ah sehingga memukau orang ramai dengan kemerduan suaranya.


LATAR TEMPAT
Antara latar tempat yang terdapat dalam novel Sutera Dalam Lukisan
1.         Di tebing sungai
Bujei dihurung oleh agas-agas dan nyamuk yang semakin galak lewat petang ketika berada di tepi sungai.
2.         Rumah Fatimah
Harun menyepak pelita minyak tanah sehingga menyebabkan kebakaran dan kematian Fatimah.
            3.         Rumah nenek
Bujei balik ke rumah neneknya setelah ditegur oleh Sidang Saman ketika dia berendam di dalam sungai.
4.         Pangkal pokok
Bujei duduk bersandar di pangkal pokok sambil menunggu kanak-kanak sekolah yang lalu-lalang di situ sehingga akhirnya dia terlelap.
5.         Pintu pagar sekolah
Bujei menghantar kanak-kanak sekolah sehingga ke pintu pagar sekolah sambil memesan mereka supaya belajar bersungguh-sungguh.
6.         Kedai Pak Sulong
Bujei melewati Kedai Pak sulong untuk meraih simpati dan mengharapkan pelawaan daripada pelanggan di situ.
7.         Rumah Mak Usu Bakyah
Same’ah dan Adila bertandang ke rumah Mak Usu Bakyah dan berbual-bual panjang sehingga larut malam.
8.         Di pekan
Samsul membawa Bujei ke pekan untuk menggunting rambut,membeli radio,jam dan pakaian
9.         Rumah ibu bapa Adila
Adila berbincang dengan ayahnya tentang masa depan dan pekerjaannya sebagai pensyarah ketika Adila balik ke rumah ibu bapanya di Kuala Lumpur
10.       Rumah Sidang Saman
Adila tinggal bersama-sama keluarga Sidang Saman sementara menunggu dan membantu menjayakan majlis perkahwinan Same’ah yang akan berlangsung.
11.       Rumah Mak Som
            Bujei ke rumah Mak Som untuk mengambil upah mencuci motosikal Alias.
12.       Di bawah pokok belimbing besi
Adilah menanti kedatangan Bujei di bawah pokok belimbing besi dalam pertemuan mereka yang pertama.
13.       England
            Adila pulang semula ke tanah air setelah melanjutkan pelajarannya di England.
14.       Kedai gunting rambut di pekan
Bujei telah menggunting rambutnya di pekan dan berasa hairan apabila melihat dirinya di cermin yang sudah berubah.

Friday, 14 October 2011

KARANGAN SPM 2011(DIMENSI NEGARA)


Malaysia terkenal sebagai destinasi pilihan kepada pelabur asing untuk mencari peluang perniagaan berdasarkan kekukuhan asas ekonomi, perlaksanaan pelbagai dasar, dan insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia.
Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

“Malaysia Truly Asia”

Kenyataan di atas merupakan istilah atau gelaran yang diguna pakai oleh seluruh penghuni dunia apabila ditanyakan mengenai Negara yang tercinta iaitu Malaysia. Mengapakah istilah ini digunakan untuk melambangkan Malaysia? Apakah keistimewaan Malaysia sehingga digambarkan sedemikian rupa? Dalam era modenisasi ini, Malaysia terserlah sebagai antara sebuah Negara yang terpenting, bukan sahaja di Asia Tenggara mahupun Asia bahkan di mata dunia. Malaysia terkenal sebagai destinasi pilihan kepada para pelabur asing untuk mencari peluang perniagaan berdasarkan kekukuhan asas ekonomi, pelaksanaan pelbagai dasar, insentif dan inisiatif yang diperkenalkan serta faktor-faktor yang lain. Bak kata peribahasa, “Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang” sesuai menggambarkan usaha serta faktor yang membawa kepada kepesatan sebuah negara multi races ini.
Sudah terang lagi bersuluh. Kehebatan tanah air berdaulat kita ini boleh dilihat sejak zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka lagi. Empayar Kerajaan Melaka yang meliputi seluruh Semenanjung Tanah Melayu serta hampir keseluruhan kepulauan Sumatera menjadi destinasi utama para pedagang untuk berdagang atas beberapa faktor. Faktor geografi yang menyumbang kepada kerancakan ekonomi pada masa itu ialah kedudukan Melaka yang terletak antara laluan Barat ke Timur. Oleh itu, tidak hairanlah Melaka menjadi pilihan utama para pedagang untuk memperdagangkan barangannya. Kenyataan ini disokong kuat lagi dengan kehadiran arca, artifak, kapal-kapal dagang serta budaya pelbagai kaum yang boleh dilihat di sekitar negeri Melaka ketika ini.  Akan tetapi, malang tidak berbau. Kemanisan yang dirasai sama sekali tidak bertahan lama apabila negeri bersejarah ini diserang penjajah pada tanggal 24 Ogos 1511 iaitu pada abad ke-5. Lebih teruk lagi, kuasa ekonomi yang dipegang kita dahulu diambil alih oleh kuasa dominan dunia. Bak kata pepatah “Sudah jatuh ditimpa tangga.”
Namun begitu, kejatuhan negara kita tidaklah lama. Episod tragik in berakhir apabila kita mencapai kemerdekaan berkat usaha nenek moyang kita dahulu. Bagai anak burung baru belajar terbang, kita perlahan-lahan menaiki tangga dunia. Antara faktor yang membantu kebangkitan Malaysia ialah sumber ekonominya yang banyak dan luas. Misalnya, bijih timah, emas, petroleum serta banyak lagi yang menjadi punca perebutan kuasa dominan pada negara kita. Kekayaan sumber negara kita inilah menjadi salah satu punca Malaysia menjadi destinasi pilihan kepada pelabur asing. Jika diimbas kembali, para pedagang India menggambarkan kepesatan ekonomi Tanah Melayu sebagai Semenanjung Emas. Disebabkan kekukuhan asas ekonomi inilah sedikit sebanyak membangunkan Malaysia di mata dunia seterusnya memainkan peranan penting dalam abad ke-21 ini.
Dalam era dunia ketiga ini, kita dikejutkan dengan pergolakan dan huru-hara yang berlaku apabila manusia berlaga sesama sendiri demi kepentingan masing-masing.  Persis kata peribahasa, “Anjing galak babi berani” menggambarkan pihak yang masing-masing mahu menunjukkan kebenaran, sama-sama tidak beralah hinnga menimbulkan kekacauan seterusnya membawa kepada kehancuran sesebuah negara. Misalnya, seperti yang kita dapat lihat di Libya dan London baru-baru ini. Walakin begitu, kita bertuah kerana dilahirkan di sebuah negara yang aman damai dimana warna kulit, budaya serta agama tidak menjadi persoalan dan buah mulut seseorang. Atas faktor inilah nama Malaysia dipandang indah justeru menjadi pilihan utama para pelabur asing yang dahagakan kedamaian terutamanya. Persis kata cendiakawan dunia “Kekuatan sesebuah kubu itu terletak pada askarnya”. Malaysia terkenal dengan dasar keterbukaan rakyatnya, tidak seperti di Afrika yang suatu ketika dahulu mengamalkan Dasar Aparteid yang mementingkan warna kulit dalam organisasi kerajaan. Di Malaysia, pelabur berasa lebih selamat untuk mencurahkan emasnya di sini. Justeru, tidak hairanlah setiap perniagaan yang didirikan akan mendapat pendapatan yang lumayan. Negara ini ibarat ‘lubuk emas’ buat mereka.
Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Malaysia terkenal dengan para pemimpinnya yang berkaliber serta memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sebuah negara yang sedang membangun. Pelbagai dasar diperkenalkan bagi menarik lagi minat pelabur asing untuk melabur. Sebagaimana yang kita sedia maklum, baru-baru ini Perdana Menteri kita iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan pelan transformasi bagi menjana ekonomi negara serta penduduk berpendapatan tinggi. Selain itu, kerajaan mengambil inisiatif dengan menghantar wakil ke sesebuah negara contohnya di Australia bagi memperkukuhkan hubungan dua hala dan meningkatkan ekonomi. Persis peribahasa negara samurai “Isseki nicho” yang membawa maksud sambil menyelam minum air. Di samping itu, kerajaan memperkenal dan mengadakan kempen serta mempromosi bagi mengukuhkan lagi nama Malaysia di persada dunia. Bak kata peribahasa, “Ditumbuk dikisar barulah lumat”. Berkat daripada usaha yang dijalankan serta membanting tulang empat kerat, Malaysia menjadi destinasi pilihan kepada pelabur asing untuk mencari nafkah dan peluang perniagaan. Persis kata mutiara “Orang yang berjaya ialah orang yang berusaha tanpa jemu”.
Tuntasnya, Malaysia berjaya menjadi sebuah negara idaman dan penting pada abad ke-21 ini. Harus diingatkan bahawa terdapat banyak faktor yang menyumbang selain daripada usaha-usaha yang dilakukan. Oleh itu, kita sebagai waris tampuk pemerintahan negara haruslah memelihara usaha yang telah dilakukan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi untuk kelangsungan hidup. Selain itu, kita haruslah sentiasa bersatu padu kerana jika kita tidak mejaga perpaduan yang dipelihara sejak dahulu lagi nescaya kita akan jatuh sama sekali. Pepatah Melayu berbunyi “Bulat pembentung kerana pembulat, bulat manusia kerana muafakat”. Selain itu juga, kita janganlah cepat terpedaya dengan hasutan anasir-anasir yang cuba untuk menjatuhkan kita. Kita haruslah menanam sifat berani kerana benar dan berdikari. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.


OLEH: ISKANDAR LOKMAN
            5SN2