LATIH TUBI PECUTAN TERAKHIR PRA-SPM: SOALAN RUMUSAN
Soalan 1 : Rumusan
[ 30 markah ]
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang peranan pusat sumber sekolah dan sebab-sebab pusat sumber sekolah kurang dikunjungi. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Sejak dahulu lagi sesebuah sekolah dianggap tidak lengkap jika tidak mempunyai satu perpustakaan. Perpustakaan itu pula dianggap sebagai gedung ilmu dan sumber pengetahuan. Hal ini bermakna, kalau sebelum ini perpustakaan merupakan pusat pengumpulan bahan bercetak dan bilik alat merupakan tempat pengumpulan bahan-bahan alat pandang dengar, sekarang kedua-dua tempat ini diintegrasikan untuk menjadi pusat sumber sekolah.
Pusat sumber sekolah berfungsi sebagai pusat untuk menyediakan, menyimpan, mengedarkan, dan memberi perkhidmatan koleksi bahan. Sama ada bersaiz sekadar sebuah bilik darjah ataupun berdiri megah berbentuk bangunan sendiri, pusat sumber sekolah berpotensi besar dalam meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan tahap intelektual warga sekolah, khususnya murid. Usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu yang menjadi satu daripada fokus tahunan pusat sumber sekolah. Pusat sumber sekolah dapat mengadakan kolaborasi dengan Panitia Bahasa Melayu dalam program peningkatan akademik.
Pusat sumber sekolah juga merupakan tempat berlakunya segala kegiatan yang bertujuan untuk meningkatkan pencapaian dalam proses pengajaran dan pemelajaran. Konsep pusat sumber sekolah ini adalah berkaitan dengan konsep pendidikan moden, iaitu untuk mewujudkan keadaan belajar secara kendiri. Dengan yang demikian, setiap individu boleh menentukan kehendak pelajarnya dan merancang sesuatu bagi memupuk keperluan dan kehendak yang tersendiri. Pusat sumber sekolah sememangnya dapat membantu dan membaiki kualiti pendidikan negara agar dapat memberikan asas yang kukuh bagi membentuk masyarakat berpengetahuan. Oleh itu, golongan pendidik sentiasa diingatkan supaya menghasilkan pengajaran yang berkesan.
Pada masa yang sama, pusat sumber sekolah perlu dilengkapi dengan alat bahan, dan kemudahan. Pusat sumber yang lengkap dan menepati kehendak pelanggannya membolehkan proses capaian maklumat dilaksanakan dengan berkesan. Antaranya termasuk penyediaan keratan akhbar dan koleksi rencana daripada majalah. Selain itu, pusat sumber sekolah mampu menghasilkan bahan-bahan yang mudah dan murah, tetapi berkesan kepada pelanggannya. Jadi, pusat sumber sekolah disediakan bertujuan untuk memajukan sumber pelbagai media bagi kegunaan guru dan pelajar.
Tegasnya, dapatlah dikatakan bahawa peranan pusat sumber sekolah sangat luas. Di samping memupuk minat gemar membaca dan membuat penyelidikan, diharapkan apabila pelajar dapat memanfaatkan pusat sumber sekolah, mereka akan dapat menjadi pelajar yang berdedikasi, berfikiran matang, berdisiplin, dan dapat mengembangkan bakat, serta kebolehan mereka berdasarkan minat dan kecenderungan masing-masing.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Pusat Sumber Meningkatkan Penguasaan Bahasa Melayu’ oleh Zuridah Hanim Md. Akhir, Pelita Bahasa, April 2011)
Soalan 2 : Pemahaman
Soalan 2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata gedung ilmu. [2 markah]
(ii) Nyatakan kelebihan-kelebihan sekiranya seseorang pelajar itu gemar membaca dan membuat penyelidikan di pusat sumber sekolah?
[3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara-cara untuk meningkatkan minat pelajar menggunakan pusat sumber sekolah? [4 markah
No comments:
Post a Comment