PERANAN KELUARGA DALAM MELINDUNGI AHLI-AHLINYA DARIPADA ANCAMAN DAN BAHAYA.
Keluarga boleh didefinasikan sebagai satu kelompok individu yang terdiri daripada ibu, bapa dan anak. Institusi kekeluargaan yang cemerlang dan bahagia perlu dipelopori oleh ibu dan bapa dengan baik. Keluarga merupakan tempat perlindungan untuk ahli-ahlinya berlindung daripada bahaya dan pengaruh persekitaran. Namun begitu, mutakhir ini, kes-kes penderaan kanak-kanak dan kes buli pelajar sekolah sering terpampang di dada-dada akhbar seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini amat membimbangkan kerana individu yang tidak bersalah menjadi mangsa kerakusan manusia yang alpa dengan arus globalisasi. Oleh itu, keluarga perlu memainkan peranan dalam melindungi ahli-ahlinya dan tidak boleh hanya berpeluk tubuh sahaja.
Bapa merupakan ketua keluarga dan memikul tanggungjawab yang besar dalam memastikan keselamatan anak-anak dan isteri. Bapa berperanan dalam mengajar anak-anak dalam mempertahankan diri daripada bahaya dan perlu tegas dalam mendidik anak-anak. Sesungguhnya, anak-anak perlu dididik dari kecil seperti kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun begitu, ketegasan bapa haruslah berpada-pada dan tidak sampai ke tahap memukul anak-anak. Bapa juga perlu memastikan keselamatan anak-anak dan isteri semasa di luar kawasan rumah. Bapa tidak boleh membiarkan anak-anak pulang ke rumah dengan berjalan kaki bagi mengelakkan kes culik. Bapa harus sentiasa melengkapkan anak-anak dengan alat pertahanan diri bak kata pujangga, sediakan payung sebelum hujan.
Ibu juga perlu memainkan peranan dalam memastikan keselamatan anak-anak dan tidak boleh hanya bersikap lepas tangan. Ibu bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak tentang ilmu agama dan ilmu fekah. Selain itu, ibu dan bapa juga harus bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi menjamin keselamatan anank-anak. Ibu bapa perlulah meluangkan masa secukupnya dengan anak-anak dan mencurahkan kasih sayang secukupnya kepada mereka. Hal ini adalah untuk memastikan anak-anak tidak menghabiskan masa mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti merokok dan melepak kerana terpengaruh dengan rakan sebaya. Kasih sayang yang mencukupi juga adalah perlu agar anak-anak tidak mencari alternatif lain bagi mendapatkan kasih sayang sehingga memudaratkan diri sendiri.
Di samping itu,ibu bapa juga perlu sentiasa memantau aktiviti anak-anak bagi menjamin keselamatn mereka. Ibu bapa hendaklah memastikan bahawa anak-anak mereka tidak berkawan dengan orang yang berakhlak keji bagi mengelakkan pengaruh yang negatif. Ibu bapa perlu tegas dalam situasi ini agar tidak menyesal di kemudian hari seperti kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Selain itu,ibu bapa juga perlu memantau keselamatan anak-anak di luar rumah agar tidak menjadi mangsa buli di luar rumah. Pendekatan yang berhemah oleh ibu bapa juga adalah perlu seperti ibu bapa berkongsi masalah yang dihadapi oleh anak-anak agar anak-anak tidak tertekan dan mengelakkan anak-anak daripada melakukan perkara yang membahayakan diri.
Selain itu,ibu bapa juga perlu memberikan teladan yang baik kepada anak-anak kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Oleh itu,ibu bapa perlu membesarkan anak-anak dengan baik dan tidak bertengkar di hadapan anak-anak bagi meyakinkan anak-anak bahawa keluarga mereka merupakan tempat perlindungan yang selamat. Bapa juga tidak boleh memukul isteri dan anak-anak dengan sewenang-wenangnya disebabkan oleh sikapnya yang panas baran. Sebaliknya, bapa perlulah sentiasa melindungi ahli keluarga daripada bahaya. Ibu bapa juga tidak boleh bersikap alpa sehingga tidak mengendahkan keselamatan anak-anak. Anak-anak merupakan insan yang lemah dan perlu dilindungi. Justeru itu, ibu bapa tidak boleh membiarkan anak-anak tinggal bersendirian di rumah dan perlu ditemani oleh orang dewasa apabila mereka berada di luar kawasan rumah. Janganlah ibu bapa menyesal apabila berlaku sesuatu yang buruk terhadap anak-anak seperti sudah terhantuk, baru terngadah. Oleh itu,ibu bapa haruslah prihatin terhadap keselamatan anak-anak walau di mana jua mereka berada.
Kesimpulannya, ibu bapa memikul tanggungjawab yang sama dalam memastikan keselamatan anak-anak. Namun begitu, tanpa kerjasama yang menyeluruh, usaha untuk menjamin keselamatan mereka akan menjadi sia-sia seperti mencurahkan air ke daun keladi. Justeru itu, setiap ahli keluarga perlu bekerjasama dan mengamalkan sikap susah sama dipikul, ringan sama dijinjing bagi mewujudkan institusi kekeluargaan yang selamat. Sesunggguhnya, keluarga yang selamat dapat mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan seterusnya menjamin keamanan Negara. Keselamatan seseorang individu dapat membantu dalam kstabilan fizikal dan mental . Oleh itu, anak-anak perlu diberikan pendidikan yang sempurna seiring dengan keselamatan bagi melahirkan individu yang cemerlang bagi memimpin Negara bak kata pujangga, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
NUR AFIKAH BT ZAINAL ABIDIN
5 SAINS 1
TQVM FIKAH
ReplyDeleteQWERTYUIOP novel
ReplyDeletekarangan yang sangat hebat dan mengagumkan !!! i like it
ReplyDeletekarangan nim nak copy ehh ..
ReplyDeletebnyk sangatpenggunaan peribahasa...isi sangat relevan..bagus
ReplyDelete