Selamat Datang Ke Blog Cikgu Harliza

Friday 14 October 2011

KARANGAN SPM 2011(DIMENSI NEGARA)


Malaysia terkenal sebagai destinasi pilihan kepada pelabur asing untuk mencari peluang perniagaan berdasarkan kekukuhan asas ekonomi, perlaksanaan pelbagai dasar, dan insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia.
Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

“Malaysia Truly Asia”

Kenyataan di atas merupakan istilah atau gelaran yang diguna pakai oleh seluruh penghuni dunia apabila ditanyakan mengenai Negara yang tercinta iaitu Malaysia. Mengapakah istilah ini digunakan untuk melambangkan Malaysia? Apakah keistimewaan Malaysia sehingga digambarkan sedemikian rupa? Dalam era modenisasi ini, Malaysia terserlah sebagai antara sebuah Negara yang terpenting, bukan sahaja di Asia Tenggara mahupun Asia bahkan di mata dunia. Malaysia terkenal sebagai destinasi pilihan kepada para pelabur asing untuk mencari peluang perniagaan berdasarkan kekukuhan asas ekonomi, pelaksanaan pelbagai dasar, insentif dan inisiatif yang diperkenalkan serta faktor-faktor yang lain. Bak kata peribahasa, “Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang” sesuai menggambarkan usaha serta faktor yang membawa kepada kepesatan sebuah negara multi races ini.
Sudah terang lagi bersuluh. Kehebatan tanah air berdaulat kita ini boleh dilihat sejak zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka lagi. Empayar Kerajaan Melaka yang meliputi seluruh Semenanjung Tanah Melayu serta hampir keseluruhan kepulauan Sumatera menjadi destinasi utama para pedagang untuk berdagang atas beberapa faktor. Faktor geografi yang menyumbang kepada kerancakan ekonomi pada masa itu ialah kedudukan Melaka yang terletak antara laluan Barat ke Timur. Oleh itu, tidak hairanlah Melaka menjadi pilihan utama para pedagang untuk memperdagangkan barangannya. Kenyataan ini disokong kuat lagi dengan kehadiran arca, artifak, kapal-kapal dagang serta budaya pelbagai kaum yang boleh dilihat di sekitar negeri Melaka ketika ini.  Akan tetapi, malang tidak berbau. Kemanisan yang dirasai sama sekali tidak bertahan lama apabila negeri bersejarah ini diserang penjajah pada tanggal 24 Ogos 1511 iaitu pada abad ke-5. Lebih teruk lagi, kuasa ekonomi yang dipegang kita dahulu diambil alih oleh kuasa dominan dunia. Bak kata pepatah “Sudah jatuh ditimpa tangga.”
Namun begitu, kejatuhan negara kita tidaklah lama. Episod tragik in berakhir apabila kita mencapai kemerdekaan berkat usaha nenek moyang kita dahulu. Bagai anak burung baru belajar terbang, kita perlahan-lahan menaiki tangga dunia. Antara faktor yang membantu kebangkitan Malaysia ialah sumber ekonominya yang banyak dan luas. Misalnya, bijih timah, emas, petroleum serta banyak lagi yang menjadi punca perebutan kuasa dominan pada negara kita. Kekayaan sumber negara kita inilah menjadi salah satu punca Malaysia menjadi destinasi pilihan kepada pelabur asing. Jika diimbas kembali, para pedagang India menggambarkan kepesatan ekonomi Tanah Melayu sebagai Semenanjung Emas. Disebabkan kekukuhan asas ekonomi inilah sedikit sebanyak membangunkan Malaysia di mata dunia seterusnya memainkan peranan penting dalam abad ke-21 ini.
Dalam era dunia ketiga ini, kita dikejutkan dengan pergolakan dan huru-hara yang berlaku apabila manusia berlaga sesama sendiri demi kepentingan masing-masing.  Persis kata peribahasa, “Anjing galak babi berani” menggambarkan pihak yang masing-masing mahu menunjukkan kebenaran, sama-sama tidak beralah hinnga menimbulkan kekacauan seterusnya membawa kepada kehancuran sesebuah negara. Misalnya, seperti yang kita dapat lihat di Libya dan London baru-baru ini. Walakin begitu, kita bertuah kerana dilahirkan di sebuah negara yang aman damai dimana warna kulit, budaya serta agama tidak menjadi persoalan dan buah mulut seseorang. Atas faktor inilah nama Malaysia dipandang indah justeru menjadi pilihan utama para pelabur asing yang dahagakan kedamaian terutamanya. Persis kata cendiakawan dunia “Kekuatan sesebuah kubu itu terletak pada askarnya”. Malaysia terkenal dengan dasar keterbukaan rakyatnya, tidak seperti di Afrika yang suatu ketika dahulu mengamalkan Dasar Aparteid yang mementingkan warna kulit dalam organisasi kerajaan. Di Malaysia, pelabur berasa lebih selamat untuk mencurahkan emasnya di sini. Justeru, tidak hairanlah setiap perniagaan yang didirikan akan mendapat pendapatan yang lumayan. Negara ini ibarat ‘lubuk emas’ buat mereka.
Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Malaysia terkenal dengan para pemimpinnya yang berkaliber serta memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sebuah negara yang sedang membangun. Pelbagai dasar diperkenalkan bagi menarik lagi minat pelabur asing untuk melabur. Sebagaimana yang kita sedia maklum, baru-baru ini Perdana Menteri kita iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan pelan transformasi bagi menjana ekonomi negara serta penduduk berpendapatan tinggi. Selain itu, kerajaan mengambil inisiatif dengan menghantar wakil ke sesebuah negara contohnya di Australia bagi memperkukuhkan hubungan dua hala dan meningkatkan ekonomi. Persis peribahasa negara samurai “Isseki nicho” yang membawa maksud sambil menyelam minum air. Di samping itu, kerajaan memperkenal dan mengadakan kempen serta mempromosi bagi mengukuhkan lagi nama Malaysia di persada dunia. Bak kata peribahasa, “Ditumbuk dikisar barulah lumat”. Berkat daripada usaha yang dijalankan serta membanting tulang empat kerat, Malaysia menjadi destinasi pilihan kepada pelabur asing untuk mencari nafkah dan peluang perniagaan. Persis kata mutiara “Orang yang berjaya ialah orang yang berusaha tanpa jemu”.
Tuntasnya, Malaysia berjaya menjadi sebuah negara idaman dan penting pada abad ke-21 ini. Harus diingatkan bahawa terdapat banyak faktor yang menyumbang selain daripada usaha-usaha yang dilakukan. Oleh itu, kita sebagai waris tampuk pemerintahan negara haruslah memelihara usaha yang telah dilakukan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi untuk kelangsungan hidup. Selain itu, kita haruslah sentiasa bersatu padu kerana jika kita tidak mejaga perpaduan yang dipelihara sejak dahulu lagi nescaya kita akan jatuh sama sekali. Pepatah Melayu berbunyi “Bulat pembentung kerana pembulat, bulat manusia kerana muafakat”. Selain itu juga, kita janganlah cepat terpedaya dengan hasutan anasir-anasir yang cuba untuk menjatuhkan kita. Kita haruslah menanam sifat berani kerana benar dan berdikari. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.


OLEH: ISKANDAR LOKMAN
            5SN2

KARANGAN SPM 2011

KARANGAN BAHAGIAN B
PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBERIKAN SOKONGAN  KEPADA ANAK-ANAK DEMI MEMASTIKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK ANAK-ANAK
Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat atau sanak saudara yang saling mengasihi, mencintai dan bersifat belas kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga merupakan aset terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak mempunyai keluarga,  hidupnya sebatang kara, tidak mempunyai tempat bergantung untuk menumpang kasih serta hidup bagaikan layang-layang terputus tali. Pada tahun 2003, Malaysia telah digemparkan dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Amalina yang amat membanggakan. Hal ini kerana beliau berjaya mendapat 17A1 sekali gus menjadikan beliau pelajar cemerlang SPM 2003. Kejayaan ini adalah kerana Nur Amalina mempunyai sebuah keluarga yang penyayang dan sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam bidang akademik beliau. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan daripada keluarga. Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kerana keluarga bahagia pemangkin kecemerlangan anak-anak.

Antara peranan  keluarga ialah menunjukkan contoh teladan kepada anak-anak kerana kepimpinan melalui teladan. Anak-anak akan lebih terdorong untuk mengikut jejak langkah kejayaan ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih mengenali dan rapat dengan anak-anak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola dan inspirasi untuk kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan ibu bapa akan menyebabkan anak-anak cuba memotivasikan diri mereka sekali gus mengubah kehidupan mereka agar berjaya atau lebih berjaya daripada ibu bapa mereka. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa yang berjaya mempunyai anak-anak yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka. Buktinya, kajian statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50 peratus rakyat Malaysia terlibat dengan gejala negatif lazimnya mempunyai konflik keluarga. Oleh itu, benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan merupakan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk kecemerlangan anak-anak.

Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat, membanting tulang dan bekerja keras dengan tulang empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan yang lumayan dan mewah. Hal ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan keselesaan yang secukupnya kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Semua ibu bapa menginginkan kejayaan daripada anak-anak supaya anak-anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berkemampuan terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka. Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan lebih masa untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka. Buktinya, mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup mengorbankan apa-apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata mereka. Kenyataan ini membuktikan bahawa ibu bapa rela berkorban demi anak-anak mereka sekali pun terpaksa bergadai nyawa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan untuk anak-anak cemerlang dalam bidang pelajaran.
Dorongan lain yang boleh diberikan oleh keluarga adalah dengan memberikan anak-anak didikan agama yang sempurna. Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama yang sempurna akan terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan mempunyai prinsip hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka tidak mudah terpengaruh oleh gejala negatif yang semakin berleluasa seperti kudis dalam masyarakat marcapada ini. Kejayaan Nadia Amira yang cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai didikan agama yang sempurna mampu meraih kejayaan. Albert Einstein pernah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama yang sempurna merupakan salah satu dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik.

Sebagai intiha, dorongan daripada keluarga merupakan faktor terpenting kejayaan anak-anak. Rentetan itu, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur dengan tebing dan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk merealisasikan impian murni mereka. Dorongan keluarga dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang lebih dikenali sebagai "Pak Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa pemikiran rakyat Malaysia tercinta ini tidak lagi dibelenggu atau tidak lagi umpama katak di bawah tempurung, malah telah bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain untuk negara maju yang lain di seluruh sarwajagat ini.

Tuesday 4 October 2011

KARANGAN CONTOH BERDASARKAN SOALAN PERCUBAAN SPM 2011(MELAKA)


PERANAN KELUARGA DALAM MELINDUNGI AHLI-AHLINYA DARIPADA ANCAMAN DAN BAHAYA.

Keluarga boleh didefinasikan sebagai satu kelompok individu yang terdiri daripada ibu, bapa dan anak. Institusi kekeluargaan yang cemerlang dan bahagia perlu dipelopori oleh ibu dan bapa dengan baik. Keluarga merupakan tempat perlindungan untuk ahli-ahlinya berlindung daripada bahaya dan pengaruh persekitaran. Namun begitu, mutakhir ini, kes-kes penderaan kanak-kanak dan kes buli pelajar sekolah sering terpampang di dada-dada akhbar  seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini amat membimbangkan kerana individu yang tidak bersalah menjadi mangsa kerakusan manusia yang alpa dengan arus globalisasi. Oleh itu, keluarga perlu memainkan peranan dalam melindungi ahli-ahlinya dan tidak boleh hanya berpeluk tubuh sahaja.

Bapa merupakan ketua keluarga dan memikul tanggungjawab yang besar dalam memastikan keselamatan anak-anak dan isteri. Bapa berperanan dalam mengajar anak-anak dalam mempertahankan diri daripada bahaya dan perlu tegas dalam mendidik anak-anak. Sesungguhnya, anak-anak perlu dididik dari kecil seperti kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun begitu, ketegasan bapa haruslah berpada-pada dan tidak sampai ke tahap memukul anak-anak. Bapa juga perlu memastikan keselamatan anak-anak dan isteri semasa di luar kawasan rumah. Bapa tidak boleh membiarkan anak-anak pulang ke rumah dengan berjalan kaki bagi mengelakkan kes culik. Bapa harus sentiasa melengkapkan anak-anak dengan alat pertahanan diri bak kata pujangga, sediakan payung sebelum hujan.

Ibu juga perlu memainkan peranan dalam memastikan keselamatan anak-anak dan tidak boleh hanya bersikap lepas tangan. Ibu bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak tentang ilmu agama dan ilmu fekah. Selain itu, ibu dan bapa juga harus bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi menjamin keselamatan anank-anak. Ibu bapa perlulah meluangkan masa secukupnya dengan anak-anak dan mencurahkan kasih sayang secukupnya kepada mereka. Hal ini adalah untuk memastikan anak-anak tidak menghabiskan masa mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti merokok dan melepak kerana terpengaruh dengan rakan sebaya. Kasih sayang yang mencukupi juga adalah perlu agar anak-anak tidak mencari alternatif lain bagi mendapatkan kasih sayang sehingga memudaratkan diri sendiri.



Di samping itu,ibu bapa juga perlu sentiasa memantau aktiviti anak-anak bagi menjamin keselamatn mereka. Ibu bapa hendaklah memastikan bahawa anak-anak mereka tidak berkawan dengan orang yang berakhlak keji bagi mengelakkan pengaruh yang negatif. Ibu bapa perlu tegas dalam situasi ini agar tidak menyesal di kemudian hari seperti kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Selain itu,ibu bapa juga perlu memantau keselamatan anak-anak di luar rumah agar tidak menjadi mangsa buli di luar rumah. Pendekatan yang berhemah oleh ibu bapa juga adalah perlu seperti ibu bapa berkongsi masalah yang dihadapi oleh anak-anak agar anak-anak tidak tertekan dan mengelakkan anak-anak daripada melakukan perkara yang membahayakan diri.

Selain itu,ibu bapa juga perlu memberikan teladan yang baik kepada anak-anak kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Oleh itu,ibu bapa perlu membesarkan anak-anak dengan baik dan tidak bertengkar di hadapan anak-anak bagi meyakinkan anak-anak bahawa keluarga mereka merupakan tempat perlindungan yang selamat. Bapa juga tidak boleh memukul isteri dan anak-anak dengan sewenang-wenangnya disebabkan oleh sikapnya yang panas baran. Sebaliknya, bapa perlulah sentiasa melindungi ahli keluarga daripada bahaya. Ibu bapa juga tidak boleh bersikap alpa sehingga tidak mengendahkan keselamatan anak-anak. Anak-anak merupakan insan yang lemah dan perlu dilindungi. Justeru itu, ibu bapa tidak boleh membiarkan anak-anak tinggal bersendirian di rumah dan perlu ditemani oleh orang dewasa apabila mereka berada di luar kawasan rumah. Janganlah ibu bapa menyesal apabila berlaku  sesuatu yang buruk terhadap anak-anak seperti sudah terhantuk, baru terngadah. Oleh itu,ibu bapa haruslah prihatin terhadap keselamatan anak-anak walau di mana jua mereka berada.
           
Kesimpulannya, ibu bapa memikul tanggungjawab yang sama dalam memastikan keselamatan anak-anak. Namun begitu, tanpa kerjasama yang menyeluruh, usaha untuk menjamin keselamatan mereka akan menjadi sia-sia seperti mencurahkan air ke daun keladi. Justeru itu, setiap ahli keluarga perlu bekerjasama dan mengamalkan sikap susah sama dipikul, ringan sama dijinjing bagi mewujudkan institusi kekeluargaan yang selamat. Sesunggguhnya, keluarga yang selamat dapat mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan seterusnya menjamin keamanan Negara. Keselamatan seseorang individu dapat membantu dalam kstabilan fizikal dan mental . Oleh itu, anak-anak perlu diberikan pendidikan yang sempurna seiring dengan keselamatan bagi melahirkan individu yang cemerlang bagi memimpin Negara bak kata pujangga, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

 NUR AFIKAH BT ZAINAL ABIDIN
 5 SAINS 1