Selamat Datang Ke Blog Cikgu Harliza

Wednesday 18 July 2012

Tatabahasa -Mampan, Mapan dan Mempan


 Walaupun perkataan mampan, mapan, dan mempan mempunyai ejaan yang hampir sama, namun ketiga-tiga perkataan ini mempunyai makna yang berbeza.

 Makna perkataan mampan ialah mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik.  Perkataan ini sesuai digunakan, terutamanya dalam bidang ekonomi dan  pencapaian pembangunan  mahupun organisasi. Padanan dalam bahasa Inggeris ialah suistainable. Contoh ayat mialah;

  1. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan

Perkataan mapan pula dicatatkan sebagai bermaksud : 1. tidak berubah-ubah (sudah diterima umum) atau mantap. 2. sudah kukuh (kedudukannya), tidak goyah (sudah stabil, teguh, dikenali dan sebagainya). Padanan perkataan Inggeris ialah established. Contoh ayat ialah;

  1. Abdullah Hussin telah diiktiraf sebagai penulis yang mapan.

Manakala, perkataan mempan yang dicatatkan dalam Kamus  bermaksud dapat dilukai (oleh senjata dll.), lut, boleh terbakar (oleh api).  Padanan bahasa Inggerisnya ialah vulnerable. Contoh ayatnya ialah; 

  1. Telah berkali-kali dia menikam tubuh lelaki itu, tetapi tidak juga mempan.

Tuesday 17 July 2012

karangan Kepentingan Semangat Kejiranan




No.17,  Taman Permai Indah,
Jalan Sentosa,75460, Melaka.
                                                                                    16 Januari 20
Saudara Fazim,
                Sebagai memulakan bicara dalam lembaran kali ini, saya berharap agar saudara Fazim berada dalam keadaan sihat di samping keluarga tercinta. Saya dan keluarga di Malaysia berada dalam keadaan sihat sejahtera .
   Tujuan saya menulis dalam lembaran kali ini ialah untuk membalas pertanyaan saudara kepada saya berkenaan semangat kejiranan yang diamalkan dalam kalangan masyarakat konvensional  di Malaysia. Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini saudara, terdapat lakaran suram yang menyelubungi rakyat Malaysia bahawa ada yang berpandangan semangat kejiranan dan altruisme dalam kalangan masyarakat Malaysia semakin sirna ibarat hidup segan mati tak mahu. Hal ini wujud akibat daripada masyarakat kini lebih cenderung kepada sifat nafsi ataupun individualistik dan bersilengah.  Paradigma ini sering menjadi polemik utama dan meniti dari bibir ke bibir rakyat.  Untuk memperkasakan pemikiran saudara berkenaan semangat kejiranan ini, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat jiran boleh ditakrifkan sebagai orang yang tinggal berhampiran dengan rumah seseorang . Manakala pendefinisian secara konseptual pula semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan harian mereka.
Saudara Fazim,
   Rentetan senario itu,  rakyat Malaysia seharusnya  lebih peka terhadap kepentingan semangat kejiranan. Antara signifikannya ialah dapat menanam sifat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Hal ini kerana apabila wujudnya semangat kejiranan dalam diri setiap individu maka secara tidak langsung dapatlah menyahut proklamasi Perdana Menteri Malaysia , Dato’ Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia yang menekankan semangat perpaduan di antara kaum di Malaysia. Sinergi dan usahasama sebeginilah sewajarnya dijadikan panduan dan diaplikasikan  dalam institusi masyarakat  bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Persis peribahasa, “ ibarat telur sesangkar, pecah sebiji pecah semua”.  Contoh pendekatan yang boleh diambil untuk memupuk semangat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat ialah dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan semua kaum dalam pada masa yang sama seperti mengadakan “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap perayaan yang terdapat di Malaysia. Melalui pengimplimentasi an program ini semangat kejiranan dapat dijalinkan dalam masyarakat yang berbilang kaum ini agar boleh meluaskan horizon pemikiran dek kerana berpeluang mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar  dapat diterapkan dengan nilai saling menghormati, bertolenrasi  dan saling menyayangi di  antara satu sama lain, ibarat kata perbidalan , “ serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”.  Secara tidak langsung, tragedi 13 Mei  1969 yang merupakan sejarah hitam Negara di mana berlaku perbalahan di antara kaum di Malaysia sehingga mengakibatkan rakyat huru-hara dan negara kucar-kacir hanya akan berada dalam kotak memori sahaja, dan bukan untuk diulangi lagi kelak. Tegasnya, semangat kejiranan mampu membentuk masyarakat berbilang kaum yang stabil dari segi spiritual serta fizikal dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.
Saudara Fazim,
  Selain itu, jika ditelusuri semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat akan membawa impak positif kepada masyarakat konvensional itu sendiri.  Kesedaran semangat kejiranan mampu membawa kepada jaminan keselamatan penduduk setempat. Hal ini kerana, dengan wujudnya Rukun Tetangga yang terdiri daripada ahli-ahli masyarakat di kawasan kejiranan itu sendiri, mereka akan menjalankan rondaan pada waktu malam secara berkumpulan bagi memastikan kawasan perumahan mereka berada dalam keadaan selamat sejahtera. Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni “bagai aur dengan tebing”. Program ini juga  mampu membantu pihak polis dalam usaha untuk mengurangkan  kegiatan jenayah yang biasa berlaku di kawasan perumahan. Antara kegiatannya ialah pecah masuk rumah, jika perkara ini tidak ditegah secara serius, akan  membawa kepada banyak implikasi antaranya harta benda dirompak dan yang paling memilukan adalah boleh membawa maut kepada ahli rumah yang menjadi mangsa keadaan dalam kegiatan kebejatan moral ini. Maka, apabila terlaksananya program sebegini yang melibatkan semua pihak, purata kes jenayah dalam Negara akan berkurangan dari semasa  ke semasa. Secara tidak langsung, nama Malaysia juga harum di segenap seantero mayapada dek kerana Malaysia merupakan antara Negara paling selamat untuk didiami di dunia hasil daripada kajian yang dilakukan oleh “The World Justice Project” yang bertempat di New York, Amerika Syarikat. Hal ini sama dengan cogan kata “jiran sepakat membawa berkat”. Tegasnya, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat mampu menjana kawasan perumahan yang harmoni dan aman.
Saudara Fazim,
   Sementelahan pula,  memupuk semangat kerjasama dan berkongkalikung dalam kalangan anggota masyarakat merupakan satu lagi signifikan dalam semangat kejiranan.  Kerjasama ini mampu dipupuk menerusi penglibatan secara holistik anggota masyarakat dalam ajnas aktiviti yang dilaksanakan di kawasan perumahan mereka. Tamsilannya dengan mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, memperbaiki alat kelengkapan di taman-taman  perumahan dan pelbagai lagi. Impaknya, dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti ini akan membawa kepada anjakan paradigma bukan sahaja kepada kawasan perumahan malah kepada kesihatan anggota masyarakat itu sekali. Hal ini kerana, dengan mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan bukan sahaja akan menjadi kawasan perumahan itu kelihatan kemas bah kan juga membawa kebaikan kepada kesihatan masyarakat itu sendiri. Hal ini sama dengan peribahasa “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”. Ironinya, menurut laporan majalah “The Times “ di Australia, kegiatan gotong royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia. Secara tidak langsung, dengan mengamalkan nilai kerjasama dalam semangat kejiranan mampu merapatkan hubungan baik di antara dengan jiran tetangga. Contohnya, anggota masyarakat akan menjadi lebih akrab apabila dipertemukan dalam kegiatan yang berfaedah. Fenomena ini persis peribahasa, “bulat air kerana pembentung, bulat masyarakat kerana muafakat”. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
 
Saudara Fazim,
 Saya sebagai anak watan Negara Malaysia yang tercinta ini meletakkan harapan yang tinggi kepada rakyat Malaysia agar bangkit dan lari daripada kealpaan berkenaan semangat kejiranan ini. Hal ini kerana rakyat Malaysia tidak seharusnya mempunyai sikap evasif malah mempunyai kemampanan fikiran bahawa semangat kejiranan ini mampu mendatangkan banyak manfaat  kepada masyarakat konvensional di Negara ini.  Contohnya, jiran merupakan individu pertama yang boleh dijadikan sumber untuk meminta pertolongan apabila sedang menghadapi masalah ketika sedang mengharungi badai kehidupan.  Hal ini persis dengan peribahasa, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Saya juga berharap agar rakyat Malaysia memberikan sepenuh komitmen dari pelbagai aspek dan bukannya bersikap nafsi dalam usaha untuk menjayakan semangat kejiranan ini. Secara tidak langsung, dapat memupuk dan meningkatkan lagi semangat perpaduan dan bekerjasama dalam diri setiap rakyat Malaysia yang sangat dituntut untuk mengekalkan keamanan yang telah dikecapi.Bak kata perbidalan, “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Dalam pada itu, jika tidak tercetusnya semangat yang positif ini maka tragedi 13 Mei 1969 akan muncul kembali menyerang masyarakat dan Negara. Hal ini berlaku kerana masyarakat  tidak menjadikan peristiwa ini sebagai suatu uswah sekaligus akan membawa padah kepada setiap individu.Intihanya, aspirasi Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju pada tahun 2020 akan tercapai jua dengan terzahirnya permuafakatan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa.

       Sekian sahaja coretan saya untuk kali ini,Saya berharap saudara Fazim memahami isu yang telah saya terangkan berkaitan dengan semangat kejiranan seterusnya sama-sama mewujudkan semangat kejiranan agar keharmonian dan kesejahteraan Negara terpelihara.
Sekian wasalam.
                                                                                                                                     yang benar


Karangan ini ditulis oleh: Ahmad Faiz Basir
                                     ( 4 Akaun 2012 )
                                      SMKBK