Selamat Datang Ke Blog Cikgu Harliza

Friday 14 October 2011

KARANGAN SPM 2011(DIMENSI NEGARA)


Malaysia terkenal sebagai destinasi pilihan kepada pelabur asing untuk mencari peluang perniagaan berdasarkan kekukuhan asas ekonomi, perlaksanaan pelbagai dasar, dan insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia.
Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

“Malaysia Truly Asia”

Kenyataan di atas merupakan istilah atau gelaran yang diguna pakai oleh seluruh penghuni dunia apabila ditanyakan mengenai Negara yang tercinta iaitu Malaysia. Mengapakah istilah ini digunakan untuk melambangkan Malaysia? Apakah keistimewaan Malaysia sehingga digambarkan sedemikian rupa? Dalam era modenisasi ini, Malaysia terserlah sebagai antara sebuah Negara yang terpenting, bukan sahaja di Asia Tenggara mahupun Asia bahkan di mata dunia. Malaysia terkenal sebagai destinasi pilihan kepada para pelabur asing untuk mencari peluang perniagaan berdasarkan kekukuhan asas ekonomi, pelaksanaan pelbagai dasar, insentif dan inisiatif yang diperkenalkan serta faktor-faktor yang lain. Bak kata peribahasa, “Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang” sesuai menggambarkan usaha serta faktor yang membawa kepada kepesatan sebuah negara multi races ini.
Sudah terang lagi bersuluh. Kehebatan tanah air berdaulat kita ini boleh dilihat sejak zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka lagi. Empayar Kerajaan Melaka yang meliputi seluruh Semenanjung Tanah Melayu serta hampir keseluruhan kepulauan Sumatera menjadi destinasi utama para pedagang untuk berdagang atas beberapa faktor. Faktor geografi yang menyumbang kepada kerancakan ekonomi pada masa itu ialah kedudukan Melaka yang terletak antara laluan Barat ke Timur. Oleh itu, tidak hairanlah Melaka menjadi pilihan utama para pedagang untuk memperdagangkan barangannya. Kenyataan ini disokong kuat lagi dengan kehadiran arca, artifak, kapal-kapal dagang serta budaya pelbagai kaum yang boleh dilihat di sekitar negeri Melaka ketika ini.  Akan tetapi, malang tidak berbau. Kemanisan yang dirasai sama sekali tidak bertahan lama apabila negeri bersejarah ini diserang penjajah pada tanggal 24 Ogos 1511 iaitu pada abad ke-5. Lebih teruk lagi, kuasa ekonomi yang dipegang kita dahulu diambil alih oleh kuasa dominan dunia. Bak kata pepatah “Sudah jatuh ditimpa tangga.”
Namun begitu, kejatuhan negara kita tidaklah lama. Episod tragik in berakhir apabila kita mencapai kemerdekaan berkat usaha nenek moyang kita dahulu. Bagai anak burung baru belajar terbang, kita perlahan-lahan menaiki tangga dunia. Antara faktor yang membantu kebangkitan Malaysia ialah sumber ekonominya yang banyak dan luas. Misalnya, bijih timah, emas, petroleum serta banyak lagi yang menjadi punca perebutan kuasa dominan pada negara kita. Kekayaan sumber negara kita inilah menjadi salah satu punca Malaysia menjadi destinasi pilihan kepada pelabur asing. Jika diimbas kembali, para pedagang India menggambarkan kepesatan ekonomi Tanah Melayu sebagai Semenanjung Emas. Disebabkan kekukuhan asas ekonomi inilah sedikit sebanyak membangunkan Malaysia di mata dunia seterusnya memainkan peranan penting dalam abad ke-21 ini.
Dalam era dunia ketiga ini, kita dikejutkan dengan pergolakan dan huru-hara yang berlaku apabila manusia berlaga sesama sendiri demi kepentingan masing-masing.  Persis kata peribahasa, “Anjing galak babi berani” menggambarkan pihak yang masing-masing mahu menunjukkan kebenaran, sama-sama tidak beralah hinnga menimbulkan kekacauan seterusnya membawa kepada kehancuran sesebuah negara. Misalnya, seperti yang kita dapat lihat di Libya dan London baru-baru ini. Walakin begitu, kita bertuah kerana dilahirkan di sebuah negara yang aman damai dimana warna kulit, budaya serta agama tidak menjadi persoalan dan buah mulut seseorang. Atas faktor inilah nama Malaysia dipandang indah justeru menjadi pilihan utama para pelabur asing yang dahagakan kedamaian terutamanya. Persis kata cendiakawan dunia “Kekuatan sesebuah kubu itu terletak pada askarnya”. Malaysia terkenal dengan dasar keterbukaan rakyatnya, tidak seperti di Afrika yang suatu ketika dahulu mengamalkan Dasar Aparteid yang mementingkan warna kulit dalam organisasi kerajaan. Di Malaysia, pelabur berasa lebih selamat untuk mencurahkan emasnya di sini. Justeru, tidak hairanlah setiap perniagaan yang didirikan akan mendapat pendapatan yang lumayan. Negara ini ibarat ‘lubuk emas’ buat mereka.
Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Malaysia terkenal dengan para pemimpinnya yang berkaliber serta memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sebuah negara yang sedang membangun. Pelbagai dasar diperkenalkan bagi menarik lagi minat pelabur asing untuk melabur. Sebagaimana yang kita sedia maklum, baru-baru ini Perdana Menteri kita iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan pelan transformasi bagi menjana ekonomi negara serta penduduk berpendapatan tinggi. Selain itu, kerajaan mengambil inisiatif dengan menghantar wakil ke sesebuah negara contohnya di Australia bagi memperkukuhkan hubungan dua hala dan meningkatkan ekonomi. Persis peribahasa negara samurai “Isseki nicho” yang membawa maksud sambil menyelam minum air. Di samping itu, kerajaan memperkenal dan mengadakan kempen serta mempromosi bagi mengukuhkan lagi nama Malaysia di persada dunia. Bak kata peribahasa, “Ditumbuk dikisar barulah lumat”. Berkat daripada usaha yang dijalankan serta membanting tulang empat kerat, Malaysia menjadi destinasi pilihan kepada pelabur asing untuk mencari nafkah dan peluang perniagaan. Persis kata mutiara “Orang yang berjaya ialah orang yang berusaha tanpa jemu”.
Tuntasnya, Malaysia berjaya menjadi sebuah negara idaman dan penting pada abad ke-21 ini. Harus diingatkan bahawa terdapat banyak faktor yang menyumbang selain daripada usaha-usaha yang dilakukan. Oleh itu, kita sebagai waris tampuk pemerintahan negara haruslah memelihara usaha yang telah dilakukan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi untuk kelangsungan hidup. Selain itu, kita haruslah sentiasa bersatu padu kerana jika kita tidak mejaga perpaduan yang dipelihara sejak dahulu lagi nescaya kita akan jatuh sama sekali. Pepatah Melayu berbunyi “Bulat pembentung kerana pembulat, bulat manusia kerana muafakat”. Selain itu juga, kita janganlah cepat terpedaya dengan hasutan anasir-anasir yang cuba untuk menjatuhkan kita. Kita haruslah menanam sifat berani kerana benar dan berdikari. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.


OLEH: ISKANDAR LOKMAN
            5SN2

3 comments:

  1. woa,,pnjg tpi baik punye la....thankz ckg! ^_^

    ReplyDelete
  2. thanks! you help me a lot.
    post more karangan yang bagus bagus :)

    ReplyDelete