Selamat Datang Ke Blog Cikgu Harliza

Monday, 5 November 2012

Karangan Berpandu
Bahagian A
KEPENTINGAN SUKAN

         Marcapada ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia tentang kepentingan sukan terhadap masyarakat konvensional kini. Menurut Menteri Sukan Datuk Sri Shabery Chik,  banyak manfaat yang mampu diperoleh hasil daripada bersukan kepada masyarakat kini yang kian alpa terhadap perkara ini.


          Antara kepentingan sukan ialah mampu mengekalkan kesihatan. Hal ini demikian kerana, bersukan mampu mengeluarkan peluh yang mengandungi toksin daripada badan dan dalam pada masa yang sama mampu menstabilkan degupan jantung pada purata 80 ke 100 degupan per minit. Maka, semua pihak haruslah bangkit dari kealpaan dan mengamalkan dasar " 10 000 langkah setiap hari" dalam mengekalkan ketahanan jasmani.

            
           Selain itu, bersukan juga mampu mengurangkan masalah sosial dek kerana masa terluang remaja kini diisi dengan bersukan. Impaknya, remaja kini tidak akan terjebak ke kancah gejala sosial dan secara tidak langsung peratus masalah sosial akan merundum dari semasa ke semasa. Hal ini persis kata mutiara " Remaja Produktif, Remaja Bebas Masalah".


            Sementelahan itu, sukan merupakan medium utama dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia. Tamsilnya, seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama dan bangsa akan bersorak bagi menyemarakkan semangat para atlet untuk mencapai kejayaan. Secara tidak langsung, peribahasa "bagai isi dengan kuku" terpancar dalam kalangan masyarakat Malaysia hasil daripada bersukan.


            Seterusnya, kegiatan sukan juga mampu meningkatkan imej negara di seantero mayapada. Hal ini demikian kerana, perjuangan anak glokal di arena sukan antarabangsa amat mengagumkan. Contohnya, Datuk Nicol Ann David telah merangkul banyak kejuaraan dan melestarikan gelarannya sebagai "Ratu Skuash Dunia" selama tujuh edisi penglibatannya. Maka anak glokal memainkan peranan penting dalam menaikkan nama Malaysia.


           Deduksinya, semua pihak haruslah berkongkalikung dan memainkan peranan penting dalam menjana golongan masyarakat yang ideal dari pelbagai sudut. Hal ini persis peribahasa "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh" dalam memanifestasikan kegiatan sukan.

                                                                                             Ahmad Faiz bin Basir
                                                                                                4 Akaun                            

Saturday, 27 October 2012

Karangan Remaja Bersahsiah(Mursyidah 4SC2)


Remaja bersahsiah mullia mampu membangunkan sesebuah Negara. Oleh sebab itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah murni anak-anak mereka. Bincangkan.

Dalam meniti arus kemodenan ini, ibu bapa haruslah memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah peribadi anak-anak supaya menjadi seorang anak yang berwawasan dan berkaliber. Anak-anak ataupun digelar sebagai remaja ini mampu membangunkan sesebuah Negara jika mereka mempunyai sahsiah yang mulia dalam diri mereka. Perkara ini sering menjadi bahan perbincangan dalam kalangan ibu bapa dan pemimpin Negara. Titik permulaan dalam membentuk sahsiah mulia dalam diri anak-anak ini ialah bermulanya daripada bimbingan ibu bapa. Jika seseorang ibu bapa itu berjaya membentuk sahsiah anak-anak mereka dengan baik. Maka, tidak hairanlah pada suatu hari nanti anak-anak mereka menjadi seorang pemimpin Negara dan mampu memimpin semua anak-anak muda dalam membentuk sahsiah diri. Oleh itu, ibu bapa haruslah memainkan peranan dari sekarang sebelum nasi menjadi bubur.

Antara peranan yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa ialah dengan menjadi suri teladan kepada anak-anak kerana ibu bapa yang mencerminkan sahsiah peribadi anak-anak. Seseorang ibu bapa itu haruslah menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contoh, bertutur dengan bahasa yang sopan, tidak bergaduh antara suami isteri di hadapan anak-anak, tidak merokok di hadapan anak-anak dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, anak-anak pasti akan mengikut dan menjadikan ibu bapa mereka sebagai suri teladan kepada mereka. Hal ini persis dengan kata pepatah “bagaimana acuan, begitulah kuihnya” yang membawa maksud seseorang anak akan meniru perangai dan kelakuan ibu bapa mereka. Oleh itu, sahsiah mulia anak-anak dapat dibentuk melalui sahsiah ibu bapa. Jika ibu bapa itu bersikap baik anak-anak juga akan menjadi baik, manakala jika ibu bapa itu bersikap buruk, anak-anak juga akan turut bersikap buruk.
Selain itu, didikan agama amat penting dalam membentuk dan mencorak sahsiah yang mulia dalam diri anak-anak. Ibu bapa haruslah memainkan peranan dengan memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak kerana dengan adanya ilmu agama yang kukuh, anak-anak dapat membezakan antara perkara yang baik dan buruk. Dengan itu, anak-anak tidak akan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat seperti melepak, merokok, merempit dan sebagainya. Jika ibu bapa ingin mencorak sahsiah yang baik dalam diri anak-anak. Ibu bapa perlulah memberikan didikan agama kepada mereka sejak kecil lagi bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Anak-anak ini ibaratkan kain putih, ibu bapa yang mencorak anak-anak menjadi insan mulia dan jika terlambat memberi didikan agama yang baik kepada anak-anak, pasti kain putih itu akan menjadi hitam dan sukar untuk dibentuk. Oleh itu, ibu bapa haruslah memberi didikan agama sebelum terlambat.

Di samping itu, kasih sayang juga merupakan salah satu faktor yang dapat membentuk sahsiah diri anak-anak. Ibu bapa sewajarnya memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak “bagai menatang minyak yang penuh” kerana anak-anak ini dahagakan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah memberikan kasih sayang dengan cara beriadah bersama-sama, solat berjemaah, makan bersama-sama dan sebagainya. Kesannya, anak-anak tidak akan memberontak dan mereka akan tenang apabila ibu bapa menyayangi mereka. Namun begitu, masih terdapat golongan ibu bapa yang tidak memberi kasih sayang kepada anak-anak kerana alpa akan tanggungjawab yang dipikul. Ini akan menyebabkan anak-anak mudah memberontak dan mula melangkah ke dunia yang penuh dengan kemaksiatan. Oleh itu, ibu bapa perlulah memberikan kasih sayang yang secukupnya tidak kira dengan apapun cara kerana kasih sayang ibu bapa amatlah berharga bagi anak-anak.



Sebagai penutup wacana, ibu bapa haruslah bijak memainkan peranan mereka dalam membimbing anak-anak membentuk sahsiah diri yang mulia kerana ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dan lebih mengenali anak-anak. Saya berharap ibu bapa tidak leka akan tanggungjawab mereka dalam membimbing anak-anak bersahsiah mulia agar    harapan ibu bapa dan pemimpin Negara dalam membentuk sahsiah yang baik dalam diri anak-anak akan tercapai.

Hasil nukilan : Mursyidah Binti Mustapa
Tingkatan     : 4 Sains 2

Wednesday, 18 July 2012

Tatabahasa -Mampan, Mapan dan Mempan


 Walaupun perkataan mampan, mapan, dan mempan mempunyai ejaan yang hampir sama, namun ketiga-tiga perkataan ini mempunyai makna yang berbeza.

 Makna perkataan mampan ialah mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik.  Perkataan ini sesuai digunakan, terutamanya dalam bidang ekonomi dan  pencapaian pembangunan  mahupun organisasi. Padanan dalam bahasa Inggeris ialah suistainable. Contoh ayat mialah;

  1. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan

Perkataan mapan pula dicatatkan sebagai bermaksud : 1. tidak berubah-ubah (sudah diterima umum) atau mantap. 2. sudah kukuh (kedudukannya), tidak goyah (sudah stabil, teguh, dikenali dan sebagainya). Padanan perkataan Inggeris ialah established. Contoh ayat ialah;

  1. Abdullah Hussin telah diiktiraf sebagai penulis yang mapan.

Manakala, perkataan mempan yang dicatatkan dalam Kamus  bermaksud dapat dilukai (oleh senjata dll.), lut, boleh terbakar (oleh api).  Padanan bahasa Inggerisnya ialah vulnerable. Contoh ayatnya ialah; 

  1. Telah berkali-kali dia menikam tubuh lelaki itu, tetapi tidak juga mempan.

Tuesday, 17 July 2012

karangan Kepentingan Semangat Kejiranan




No.17,  Taman Permai Indah,
Jalan Sentosa,75460, Melaka.
                                                                                    16 Januari 20
Saudara Fazim,
                Sebagai memulakan bicara dalam lembaran kali ini, saya berharap agar saudara Fazim berada dalam keadaan sihat di samping keluarga tercinta. Saya dan keluarga di Malaysia berada dalam keadaan sihat sejahtera .
   Tujuan saya menulis dalam lembaran kali ini ialah untuk membalas pertanyaan saudara kepada saya berkenaan semangat kejiranan yang diamalkan dalam kalangan masyarakat konvensional  di Malaysia. Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini saudara, terdapat lakaran suram yang menyelubungi rakyat Malaysia bahawa ada yang berpandangan semangat kejiranan dan altruisme dalam kalangan masyarakat Malaysia semakin sirna ibarat hidup segan mati tak mahu. Hal ini wujud akibat daripada masyarakat kini lebih cenderung kepada sifat nafsi ataupun individualistik dan bersilengah.  Paradigma ini sering menjadi polemik utama dan meniti dari bibir ke bibir rakyat.  Untuk memperkasakan pemikiran saudara berkenaan semangat kejiranan ini, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat jiran boleh ditakrifkan sebagai orang yang tinggal berhampiran dengan rumah seseorang . Manakala pendefinisian secara konseptual pula semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan harian mereka.
Saudara Fazim,
   Rentetan senario itu,  rakyat Malaysia seharusnya  lebih peka terhadap kepentingan semangat kejiranan. Antara signifikannya ialah dapat menanam sifat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Hal ini kerana apabila wujudnya semangat kejiranan dalam diri setiap individu maka secara tidak langsung dapatlah menyahut proklamasi Perdana Menteri Malaysia , Dato’ Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia yang menekankan semangat perpaduan di antara kaum di Malaysia. Sinergi dan usahasama sebeginilah sewajarnya dijadikan panduan dan diaplikasikan  dalam institusi masyarakat  bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Persis peribahasa, “ ibarat telur sesangkar, pecah sebiji pecah semua”.  Contoh pendekatan yang boleh diambil untuk memupuk semangat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat ialah dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan semua kaum dalam pada masa yang sama seperti mengadakan “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap perayaan yang terdapat di Malaysia. Melalui pengimplimentasi an program ini semangat kejiranan dapat dijalinkan dalam masyarakat yang berbilang kaum ini agar boleh meluaskan horizon pemikiran dek kerana berpeluang mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar  dapat diterapkan dengan nilai saling menghormati, bertolenrasi  dan saling menyayangi di  antara satu sama lain, ibarat kata perbidalan , “ serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”.  Secara tidak langsung, tragedi 13 Mei  1969 yang merupakan sejarah hitam Negara di mana berlaku perbalahan di antara kaum di Malaysia sehingga mengakibatkan rakyat huru-hara dan negara kucar-kacir hanya akan berada dalam kotak memori sahaja, dan bukan untuk diulangi lagi kelak. Tegasnya, semangat kejiranan mampu membentuk masyarakat berbilang kaum yang stabil dari segi spiritual serta fizikal dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.
Saudara Fazim,
  Selain itu, jika ditelusuri semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat akan membawa impak positif kepada masyarakat konvensional itu sendiri.  Kesedaran semangat kejiranan mampu membawa kepada jaminan keselamatan penduduk setempat. Hal ini kerana, dengan wujudnya Rukun Tetangga yang terdiri daripada ahli-ahli masyarakat di kawasan kejiranan itu sendiri, mereka akan menjalankan rondaan pada waktu malam secara berkumpulan bagi memastikan kawasan perumahan mereka berada dalam keadaan selamat sejahtera. Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni “bagai aur dengan tebing”. Program ini juga  mampu membantu pihak polis dalam usaha untuk mengurangkan  kegiatan jenayah yang biasa berlaku di kawasan perumahan. Antara kegiatannya ialah pecah masuk rumah, jika perkara ini tidak ditegah secara serius, akan  membawa kepada banyak implikasi antaranya harta benda dirompak dan yang paling memilukan adalah boleh membawa maut kepada ahli rumah yang menjadi mangsa keadaan dalam kegiatan kebejatan moral ini. Maka, apabila terlaksananya program sebegini yang melibatkan semua pihak, purata kes jenayah dalam Negara akan berkurangan dari semasa  ke semasa. Secara tidak langsung, nama Malaysia juga harum di segenap seantero mayapada dek kerana Malaysia merupakan antara Negara paling selamat untuk didiami di dunia hasil daripada kajian yang dilakukan oleh “The World Justice Project” yang bertempat di New York, Amerika Syarikat. Hal ini sama dengan cogan kata “jiran sepakat membawa berkat”. Tegasnya, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat mampu menjana kawasan perumahan yang harmoni dan aman.
Saudara Fazim,
   Sementelahan pula,  memupuk semangat kerjasama dan berkongkalikung dalam kalangan anggota masyarakat merupakan satu lagi signifikan dalam semangat kejiranan.  Kerjasama ini mampu dipupuk menerusi penglibatan secara holistik anggota masyarakat dalam ajnas aktiviti yang dilaksanakan di kawasan perumahan mereka. Tamsilannya dengan mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, memperbaiki alat kelengkapan di taman-taman  perumahan dan pelbagai lagi. Impaknya, dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti ini akan membawa kepada anjakan paradigma bukan sahaja kepada kawasan perumahan malah kepada kesihatan anggota masyarakat itu sekali. Hal ini kerana, dengan mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan bukan sahaja akan menjadi kawasan perumahan itu kelihatan kemas bah kan juga membawa kebaikan kepada kesihatan masyarakat itu sendiri. Hal ini sama dengan peribahasa “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”. Ironinya, menurut laporan majalah “The Times “ di Australia, kegiatan gotong royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia. Secara tidak langsung, dengan mengamalkan nilai kerjasama dalam semangat kejiranan mampu merapatkan hubungan baik di antara dengan jiran tetangga. Contohnya, anggota masyarakat akan menjadi lebih akrab apabila dipertemukan dalam kegiatan yang berfaedah. Fenomena ini persis peribahasa, “bulat air kerana pembentung, bulat masyarakat kerana muafakat”. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
 
Saudara Fazim,
 Saya sebagai anak watan Negara Malaysia yang tercinta ini meletakkan harapan yang tinggi kepada rakyat Malaysia agar bangkit dan lari daripada kealpaan berkenaan semangat kejiranan ini. Hal ini kerana rakyat Malaysia tidak seharusnya mempunyai sikap evasif malah mempunyai kemampanan fikiran bahawa semangat kejiranan ini mampu mendatangkan banyak manfaat  kepada masyarakat konvensional di Negara ini.  Contohnya, jiran merupakan individu pertama yang boleh dijadikan sumber untuk meminta pertolongan apabila sedang menghadapi masalah ketika sedang mengharungi badai kehidupan.  Hal ini persis dengan peribahasa, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Saya juga berharap agar rakyat Malaysia memberikan sepenuh komitmen dari pelbagai aspek dan bukannya bersikap nafsi dalam usaha untuk menjayakan semangat kejiranan ini. Secara tidak langsung, dapat memupuk dan meningkatkan lagi semangat perpaduan dan bekerjasama dalam diri setiap rakyat Malaysia yang sangat dituntut untuk mengekalkan keamanan yang telah dikecapi.Bak kata perbidalan, “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Dalam pada itu, jika tidak tercetusnya semangat yang positif ini maka tragedi 13 Mei 1969 akan muncul kembali menyerang masyarakat dan Negara. Hal ini berlaku kerana masyarakat  tidak menjadikan peristiwa ini sebagai suatu uswah sekaligus akan membawa padah kepada setiap individu.Intihanya, aspirasi Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju pada tahun 2020 akan tercapai jua dengan terzahirnya permuafakatan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa.

       Sekian sahaja coretan saya untuk kali ini,Saya berharap saudara Fazim memahami isu yang telah saya terangkan berkaitan dengan semangat kejiranan seterusnya sama-sama mewujudkan semangat kejiranan agar keharmonian dan kesejahteraan Negara terpelihara.
Sekian wasalam.
                                                                                                                                     yang benar


Karangan ini ditulis oleh: Ahmad Faiz Basir
                                     ( 4 Akaun 2012 )
                                      SMKBK