Selamat Datang Ke Blog Cikgu Harliza

Sunday, 1 February 2015

PERIBAHASA DALAM BUKU TEKS TINGKATAN 4 DAN 5

Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 4

1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

2. Darah daging
Maksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

4. meninggi diri
Maksud : Sombong

5. bermuka dua
Maksud : Tidak jujur.

6 baik hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

7. tulang belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

8. bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

9. bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

10. melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

11. duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

12. seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

13. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

14. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

15. terang hati
Maksud : Lekas pandai.

16. rendah hati
Maksud : Tidak sombong

17. murah hati
Maksud : Pemurah.

18. tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

19. Tangan kosong
Maksud : Hampa.
 


Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 5


1. lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

2. bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

3. anak dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

5. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah


6. indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

7. hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

8. bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

9. kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

11. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

12. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya..

13. memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

14. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

15. berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

16. yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

17. sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

18. bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

19. bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

20. yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

21. mencari jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

22. biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

23.sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

24. berbesar hati
Maksud : Gembira.

25. anak buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

26. tuan rumah
Maksud : tempat berlangsungnya sesuatu acara

27. yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

28. batu penghalang
Maksud : Halangan

29 untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

30. bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.


Wednesday, 23 October 2013

  Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada masa kini.

“Jika bisnes anda tiada di internet, maka bisnes anda akan musnah”
- Bill Gates, pencipta Microsoft

            Petikan kata-kata Bill Gates ini secara tersiratnya menjelaskan bahawa pengaruh internet masa kini sangat kuat, begitu juga dengan peranan internet terhadap hala tuju kehidupan seseorang. Marcapada ini, internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi, dalam masa yang sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu. Hal ini kerana, hanya internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan dengan hanya satu klik, anda mampu mengakses seluruh alam maya tanpa perlu bermandi peluh. Setiap individu perlu tahu akan kelebihan, keburukan dan cara mengakses internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu bapa masa kini handal menggunakan internet manakala sebahagian kecilnya tidak. Namun, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari secara khusus berkenaan dengan internet. Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’ internet, maka dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari internet dan secara tidak langsung, ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet.

            Antara peranan yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada masa kini termasuklah mendedahkan anak-anak dengan segala maklumat berkaitan dengan internet. Hal ini disebabkan, anak-anak perlu diberitahu mengenai baik-buruk penggunaan internet sebelum mereka didedahkan dengan cara menggunakan kemudahan internet secara bijak. Sekiranya anak-anak sudah diajar dari awal, sudah tentu anak-anak akan lebih berhati-hati dan lebih bijak dalam menggunakan kemudahan internet pada masa-masa akan datang bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, oleh itu sememangnya ibu bapa bertanggungjawab dalam memberi pengenalan kepada anak-anak mengenai penggunaan internet dari kecil, yang ternyata amat penting dalam kehidupan masyarakat moden masa kini. Jelaslah di sini bahawa pendedahan segala maklumat berkaitan internet terhadap anak-anak merupakan tindakan yang wajar dilakukan oleh ibu bapa. 

            Selain daripada itu, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu internet ini mempunyai keburukannya. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu mengelakkan anak-anak daripada mengakses laman-laman sesawang yang berunsurkan pornografi, mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil yang dilakukan ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan tanah air yang kerap kali ‘dirompak’ oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, termasuklah mengurangkan jumlah penggodam dan pencetus provokasi di internet yang semakin hari semakin berleluasa. Anak-anak juga terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah siber, yang juga merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan tindakan keras seperti yang termaktub di dalam akta jenayah negara. Oleh itu jelaslah bahawa tindakan ibu bapa dalam memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet dapat mendidik mereka dalam memanfaatkan kegunaan internet.

            Namun begitu, ibu bapa juga seharusnya menyekat penggunaan internet oleh anak-anak. Terbaru, ibu bapa kini mampu mengawal internet dengan menyekat laman-laman sesawang yang berunsurkan negatif sebagai langkah mengelakkan pengguna internet mengakses laman-laman tersebut dan sistem yang sama digunakan pada peranti komputer yang disediakan di semua alma mater milik kerajaan. Sistem sebegini bukan sahaja mampu mengawal aktiviti penggunaan internet anak-anak, malah mampu mengasuh mereka untuk hanya mengakses laman-laman yang berguna sahaja. Bayangkan, sekiranya ibu bapa melaksanakan sistem sebegini di rumah, sudah tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan internet dengan lebih bijak, seterusnya dapat menghindari mereka daripada mengetahui mahupun mencuba untuk mengakses laman-laman berunsurkan negatif seperti yang kebiasaanya berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa masa kini. Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, persis kata peribahasa tersebut yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu bapalah yang perlu mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain putih yang tidak berdosa. Cukup ditegaskan di sini bahawa ibu bapa sebaik-baiknya mengawal penggunaan internet oleh anak-anak sebagai cara mengajar mereka menggunakan internet secara lebih bijak.

            Akhir sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak menggunakan internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka dengan medium-medium pembelajaran menerusi internet. Seperti yang ditegaskan, internet sememangnya memberikan banyak manfaat, termasuklah dari segi pendidikan. Hari ini, kemajuan internet juga selaras dengan kemajuan teknologi seperti tablet dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua peranti ini merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari internet. Oleh yang demikian, adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman sesawang atau aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak. Tanpa disedari, sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan aktiviti pembelajaran menggunakan kemudahan internet, namun malangnya kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna internet masa kini. Sebaik-baiknya anak-anak didedahkan dengan medium sebegini, sekurang-kurangya mereka akan mula memanfaatkan penggunaan internet serta bijak menggunakannya. Ibu bapa juga tidak perlu risau sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan melayari internet mahupun menghadap peranti pintar sepanjang masa, sekiranya peranti-perani di rumah diisi dengan aplikasi dan laman pembelajaran yang berguna kepada anak-anak. Oleh yang demikian, jelaslah sudah di sini bahawa tindakan ibu bapa memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui internet kepada anak-anak adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan penggunaan internet.

            Secara tuntasnya, perkhidmatan internet sememangnya memberikan manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada keburukan. Namun yang demikian, semua ini bergantung kepada ibu bapa itu sendiri, sama ada bijak atau tidak mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet dalam kehidupan seharian. Tindakan kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam memastikan perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat sama ada di bandar mahupun di luar bandar membuktikan bahawa internet sangat penting kepada semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat menggunakan perkhidmatan tersebut dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa tidak turut turun padang dalam membantu kerajaan melahirkan dan mendidik generasi yang celik IT dan bijak menggunakannya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat, sememangnya jikalau ibu bapa mula bertindak dari awal, masalah-masalah penyalahgunaan internet dan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi ini akan mudah dicantas, dan secara tidak langsung, negara kita akan dipenuhi dengan generasi-generasi yang berguna dan berfikiran hadapan. 
(926 patah perkataan)

Disediakan oleh: Muhammad Shafiq Bin Amirullah
                               5SN 2

Tuesday, 8 October 2013






Soalan 1( ICC- Melaka 2013)

Kemahiran yang diperlukan sebelum memasuki alam pekerjaan

Sudah terang lagi bersuluh,semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020.Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat bagi para pelajar.pelajar atau golongan remaja ini merupakan asset paling berharga buat sesebuah negara dan peneraju tampuk pemerintahan negara kelak.Para pelajar haruslahbersedia dari sekarang untuk menempuhi dunia yang semakin mencabar ini agar tidak mudah ditindas bak kata peribahasa melayu sediakan payung sebelum hujan.Seperti yang kita sedia maklum,alam pekerjaan merupakan destinasi akhir bagi para pelajar.Hal ini demikian, kerana mereka ingin mencari pengalaman baru dalam hidup mereka.Tidak dinafikan lagi,pada zaman ini persaingan antara para pelajaruntuk memasuki pasaran pekerjaan sangat tinggi jadi.tidak ada gunanya para pelajar bersaing sesame mereka sekiranya mereka hanya bergantung kepada kelulusan akademik sahaja.Kelulusan akedemik semata-mata tidak lagi menjadi faktor penentu kejayaan seseorang pelajar dan tidak menjanjikan jawatan yang diidamkan.Oleh itu,para pelajar haruslah melengkapkan diri mereka dengan pelbagai bidang kemahiran sebelum memasuki dunia pekerjaan .Terdapat beberapa kemahiran sebelum memasuki dunia pekerjaan dan asas pekerjaan yang perlu dikuasai oleh para pelajar.
Umum mengetahui bahawa kemahiran berkomunikasi merupakan kemahiran yang sangat penting dan wajar dikuasai oleh para pelajar.Hal ini demikian, kerana,setiap pekerjaan memerlukan kita untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan masyarakat .Para pelajar yang petah berbicara mengeluarkan hujah atau pendapat yang matang dan berani berhadapan dengan pelbagai peringkat klien akan mudah mendapat tawaran pekerjaan .Namun sebaliknya akan berlaku jika pelajar tidak bijak dan sukar berkomunikasi denganorang lain.Oleh itu,mereka haruslah melatih diri berkomunikasi dengan masyarakat agar kemahiran tersebut dapat dikuasai.Saya ingin memetik kata-kata hikmat daripada Horne yang menyatakan orang yang takut  menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju.Kata-kata ini menjelaskan bahawa jika kita terus berada dalam kelompok yang sama dan tidak mahu berubah kita tidak akan maju.Sekiranya kita berusaha mengubahnya seperti berusaha belajar cara berkomunikasi sehingga mahir nanti akan menemui kejayaan.Bukan itu sahaja,para pelajar juga perlulah bijak berinteraksi dalam gaya dan tutur bahasa yang sopan kerana pertuturan seseorang melambangkan sikapnya Oleh itu jelaslah bahawa betapa pentingnya kemahiran berkomunikasi dalam diri pelajar yang bakal memasuki alam pekerjaan ini.
Di samping itu,pelajar juga haruslah melengkapkan diri dengan kemahiran bahasa kerana kemahiran ini memainkan peranan penting sebagai pelengkap bagi para pelajar untuk memasuki alam pekerjaan.Hal ini kerana,individuyang mempunyai kemahiran bahasa lebih mudah mendapat peluang pekerjaan terutamanya dalam era globalisasi ini.Oleh itu,seseorang pelajar perlulah berusahauntuk mempelajari bahasa asing dengan mengikuti bengkel atau menghadirir tusyen bahasa asing.Contohnya bahasa inggeris,jepun dan korea.Bukan itu sahaja pelajar juga perlulah meminta tunjuk ajar dari guru yang pandai pelbagai bahasa bak kata pepatah hendak seribu daya,tidak hendak seribu dalih.Kemahiran ini juga mampu membantu pelajar pada alam pekerjaan untuk berurusan dengan pelanggan di luar negara.Hal ini akan memudahkan pelajar sekiranya dihantar bekerja di mana-mana cawangan syarikat di luar Negara .Jelaslah di sini kemahiran berbahasa juga merupakan kemahiran yang perlu dikuasai oleh seseorang pelajar sebagai asas untuk memasuki alam pekerjaan.
Selain kemahiran berkomunikasi,kemahiran teknologi juga penting selaras dengan kemajuan teknologi global.Hal ini kerana kemahiran ini mungkin berguna kepada pelajar berdasarkan bidang pekerjaan yang pelajar minati .Sebagai contoh teknologi pembuatan dan penciptaan .Oleh hal yang demikian pelajar perlulah mengambil prakarsa untuk mempelajari kemahiran tersebut dengan meminta tunjuk ajar dari orang yang mahir dan menghadiri kursus teknologi bak kata pepatah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.Dengan ini kita mampu memiliki asset utama untuk mencari peluang dalam pelbagai sektor.Contohnya pembuatan. pemesenan,perkakasan dan operasi.Oleh itu,jelaslah kemahiran teknologi merupakan salah satu pelengkap bagi pelajar untuk menjamin masa depan yang cerah.
Bukan itu sahaja,para pelajar juga haruslah mempelajari dan menguasai kemahiran dalam bidang teknologi maklumat.Hal ini, demikian teknologi maklumat ini dapat mempercepatkan proses penyebaran dan pemerolehan maklumat melalui rangkaian intenet dan laman web.Memandangkan  kebanyakan bidang pekerjaan menggunakan kemahiran telnologi maka para pelajar haruslah menjadikan bidang ini separuh daripada kehidupan seharian agar tidak menjadi penghalang semasa di alam pekerjaan.Untuk menguasai bidang ini ,para pelajar digalakkan menyertai kelab teknologi maklumat di sekolah dan memasuki pertandingan mereka cipta laman sesawang.Impaknya jika para pelajar mampu memahirkan diri dalam bidang ini nescaya para pelajar tidak tidak akan mengalami sebarang masalah sewaktu berkerja nanti.Persis kata mutiara”yang pipih tidak datang melayang,yang bulat tidak datang bergolek”.Jika tiada daya usaha yang kental untuk mempelajari bidang ini para pelajar mungkin akan mengalami kesukaran ketika bekerja.Secara tuntasnya,mempelajari bidang teknologi maklumat amatlah penting kepada para pelajar kerana di zaman yang semakin maju ini kegunaan teknologi maklumat semakin meluas dalam pelbagai bidang pekerjaan tidak kira swasta mahupun kerajaan.Oleh itu,para pelajar seharusnya memulakan langkah bagi menuntut ilmu ini.
        Secara keseluruhannya,jelaslah bahawa kemahiran dalam pelbagai bidang sangat penting bagi para pelajar sebagai persediaan untuk melangkah ke alam pekerjaan.Oleh itu,pelajar merupakan harapan kepada tonggak kemajuan negara kelak.Persis kata pepatah,pemuda harapan bangsa,pemudi tiang Negara.Jesteru itu,impian negara untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Negara-negara maju yang lain.

Monday, 7 October 2013

Anda akan menyertai pertandingan pidato peringkat daerah. Tajuk pidato yang anda pilih ialah ‘Peranan Ibu Bapa Untuk Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja’.
Sediakan teks pidato anda selengkapnya.
         
                Assalamualaikum dan selamat sejahtera, salam 1Malaysia, salam Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau. Yang dihormati, panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia dengan tugasnya, serta para hadirin sekalian. Pada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk “Peranan Ibu Bapa Untuk Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja”.
Petang-petang mengutip ranting,
Ranting disorok di dalam guni;
Ibu bapa berperanan penting,
Agar gejala sosial dapat ditangani.
                Pantun empat kerat di atas sudah cukup menerangkan bahawa ibu bapa sememangnya perlu memainkan peranan dalam memastikan gejala sosial yang semakin berleluasa ini dapat ditangani. Marcapada ini,  kita sering melihat isu-isu gejala sosial semakin menjadi-jadi dan seringkali  terpampang di dada akhbar dan corong-corong media yang lain. Remaja masa kini seolah-olah sudah tidak ‘segan’ untuk melakukan perkara-perkara terkutuk ini, malah bangga melakukannya.  Gejala sosial ini, secara spesifiknya juga  merupakan salah satu jenayah dan antara contoh gejala sosial yang sering berlaku dewasa ini termasuklah pergaulan bebas, vandalisme, pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah dan lumba haram. Gejala-gejala ini bukan sahaja menghancurkan masa depan anak-anak muda kita, yang juga merupakan harapan bangsa, malah menyebabkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat. Perbuatan ini juga boleh menyebabkan masalah-masalah lain yang memberi impak yang sangat besar terhadap institusi kekeluargaan, bangsa, agama dan negara. Oleh yang demikian, sudah menjadi satu tanggungjawab golongan yang terdekat dengan anak muda ini iaitu ibu bapa mereka sendiri, untuk memainkan peranan penting dalam menangani masalah gejala sosial dalam generasi muda.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,

                Berdasarkan penegasan tersebut, antara peranan ibu bapa dalam menangani gejala sosial dalam kalangan remaja termasuklah dengan memberikan didikan agama yang sempurna. Hal ini demikian kerana, anak-anak perlu didedahkan dengan ilmu-ilmu agama yang banyak mengajar adab-adab serta nilai murni yang perlu diamalkan dalam kehidupan, sebagai satu benteng daripada masalah gejala sosial. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghantar anak-anak ke kem keagamaan, kelas-kelas fardhu ain, mahupun membawa mereka ke ceramah agama yang kebiasannya diadakan di mana-mana surau ataupun masjid. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”, sememangnya jika ibu bapa memberi penekanan ini terhadap anak-anak sejak dari kecil, mampu membuatkan mereka tidak akan ‘tergelincir’ ke kancah penuh sengsara iaitu merujuk kepada gejala sosial. Hal ini kerana, walaupun sekali anak-anak muda ini termasuk ke dalam masalah ini, amat sukar bagi mereka untuk kembali ke pangkal jalan. Oleh itu, cukup diterangkan  di sini bahawa didikan agama yang sempurna mampu menangani gejala sosial dalam kalangan remaja.

Hadirin yang dihormati sekalian,

                Tidak cukup dengan itu, ibu bapa juga seharusnya memberikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Hal ini disebabkan, mengikut kajian, anak-anak kebiasannya akan terjebak dengan gejala sosial atau kes-kes jenayah yang lain kerana tidak mendapatkan kasih sayang dan perhatian ibu bapa. Namun dalam kajian yang sama telah dibuktikan bahawa perhatian dan kasih sayang yang dicurahkan ibu bapa terhadap anak-anak memapu membendung mereka daripada terlibat dengan gejala sosial. Ditambah pula dengan cabaran masa kini, ibu bapa kebanyakkannya mempunyai karier masing-masing, sehingga menjadi terlalu sibuk untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa, sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu kepada pengasuh yang diupah. Tamsilnya, ibu bapa perlu meluangkan masa dengan anak-anak terutama pada hujung minggu, sama ada menghabiskan masa bersama di rumah mahupun membawa mereka makan angin. Seharusnya ibu bapa menjaga dan menghargai anak-anak bagai menatang minyak yang penuh kerana anak-anak ini sememangnya satu anugerah dari Tuhan yang tidak ternilai. Secara tidak langsung, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan lagi, dan masalah gejala sosial dapat dihindari. Jelaslah di sini, bahawa perhatian dan kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa mampu menangani gejala sosial dalam kalangan remaja.

Hadirin sekalian,

                Selain daripada itu, ibu bapa juga seharusnya mengisi masa anak-anak dengan perkara yang berfaedah. Hal ini disebabkan, sekiranya masa anak-anak diisi dengan perkara yang berguna, sekurang-kurangnya mereka akan belajar cara menghargai masa dan secara tidak langsung mendapat manfaat untuk kehidupan mereka. Sebagai contoh, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak beriadah dan bersenam, bergotong-royong di rumah mahupun menghantar mereka ke kelas-kelas tambahan. Melalui kaedah ini, hari-hari mereka akan dipenuhi dengan perkara yang bermanfaat, dan mereka tidak akan ada masa untuk berleka mahupun melibatkan diri dengan perkara-perkara negatif. “Masa itu emas”, itulah ungkapan yang sering kita dengar dan ungkapan itu juga sebenarnya menyuruh kita menghargai masa. Tempoh 24 jam sehari kita setiap hari perlulah dipenuhi dengan ilmu, pengalaman, amal ibadat, kebaikan dan aktiviti-aktiviti sihat kerana setiap manusia di muka bumi ini memerlukannya. Ibu bapa digalakkan untuk memantau segala aktiviti anak-anak sama ada di sekolah mahupu  di luar sekolah, dan lebih baik lagi menyediakan jadual waktu harian untuk mereka, yang perlu diisi dengan waktu belajar, beriadah, beribadah dan beramah mesra dengan keluarga atau bergaul dengan masyarakat. Dengan cara ini, anak-anak akan lebih teratur, dan masa mereka tidak dibazirkan dengan perkara yang tidak berguna. Cukup dijelaskan di sini bahawa mengisi masa anak-anak dengan perkara yang berfaedah mampu menangani gejala sosial dalam kalangan remaja.

Para hadirin yang dirahmati,

                Akhir sekali, peranan ibu bapa dalam menangani gejala sosial termasuklah dengan menjadi suri teladan yang baik terhadap anak-anak. Seperti yang diketahui, ibu bapa merupakan golongan yang paling hampir dengan anak-anak, dan disebabkan itu, mereka merupakan golongan yang paling tepat untuk mejadi suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak bukan sahaja melalui sahsiah diri, malah dari segi pertuturan bahasa, pergerakan, adab sopan dan amal kebaikan yang dilakukan. “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya”, begitulah yang dikatakan melalui peribahasa orang Melayu kita. Keperibadian anak-anak bergantung kepada bagaimana cara ibu bapa melatih dan membentuk mereka. Sekiranya anak-anak disematkan dengan ‘sulaman’ kebaikan, maka anak-anak akan mejadi individu yang lebih baik dan begitulah sebaliknya. Sekiranya ibu bapa tidak menjadi contoh ikutan terbaik, maka bagaimanakah anak-anak ingin menjadi individu yang baik dan berakhlak mulia? Anak-anak ini merupakan penentu hala tuju negara, dan seelok-elonya mereka dibentuk dan diajar untuk menjadi individu yang berkualiti. “Sudah terang lagi bersuluh”, sememangnya ibu bapa yang menjadi suri teladan yang baik terhadap anak-anak mampu membendung mereka daripada terlibat dengan gejala sosial.

Hadirin sekalian,
                Secara keseluruhan, gejala sosial ini sebenarnya boleh ditangani dengan mudah sekirannya ibu bapa berjaya mendidik dan membentuk anak-anak dengan sebaik-baiknya. Sekiranya ibu bapa amat menitikberatkan isu ini, maka dengan mudah masalah gejala sosial yang berlaku dalam generasi muda kita masa kini akan dapat dibendung, seterusnya negara akan dapat melahirkan lebih lagi generasi muda yang berkualiti dan berkemampuan untuk mentadbir negara. Sanggupkah kita melihat negara kita dipimpin oleh orang asing dan bukannya anak watan? Sanggupkah kita melihat anak-anak kita menjadi buruan pihak berkuasa kerana terlibat dengan jenayah? Adakah tempoh sembilan bulan sepuluh hari kita menjaga mereka di dalam kandungan, dan beberapa tahun membesarkan mereka dengan mengorbankan wang, masa dan tenaga dapat dibalas sekiranya mereka terlibat dengan masalah sebegitu?  Sudah tentu tidak, oleh itu, langkah awal harus diambil dan ibu bapa perlu mula memainkan peranan masing-masing kerana peribahasa ada menyebut, “mencegah itu lebih baik daripada merawat”. Ingin saya tegaskan sekali lagi di sini bahawa, gejala sosial yang berlaku dalam kalangan remaja masa kini tidak akan dibendung tanpa usaha dan peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa.

                Sekian sahaja pidato saya pada kali ini, saya ingin memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa mahupun tersilap bahasa sepanjang saya menyampaikan pidato sebentar tadi. Saya berharap, agar hadirin sedikit sebanyak mendapat pengajaran dan ilmu tambahan daripada pidato itu tadi dan dalam masa yang sama saya juga berharap agar hadirin yang berada di hadapan saya ini tidak terlibat dengan gejala sosial seperti yang dipertekankan dan menjadi antara generasi yang berguna untuk masyarakat di masa hadapan. Sebelum saya mengundur diri, ingin saya sampaikan serangkap pantun;

Berjalan kaki pergi ke pekan,
Sambil melihat mentari pagi;
Salah dan silap harap dimaafkan,
Kalau ada umur bertemu lagi.

Sekian, terima kasih dan assalamualaikum. 
CARA-CARA MENGATASI KEJADIAN TANAH RUNTUH
OLEH :  NANAASHA BINTI AZJABAKA

Dalam mendepani era modenisasi pada abad ke-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara kini semakin semakin pesat membangun seperti peribahasa, “tenggelam sama basah, timbul sama hanyut” seiringan dengan negara maju lain. Namun sering meniti dari bibir ke bibir segenap umat manusia tentang fenomena kejadian tanah runtuh yang semakin membimbangkan rakyat Malaysia . Kemelut ini juga sering disiarkan dalam media massa seperti internet, televisyen dan surat khabar. Dari segi konsepsinya, kejadian tanah runtuh ialah kejadian yang berlaku akibat daripada gelongsoran tanah di lereng-lereng bukit. Implikasinya, fenomena ini boleh menyebabkan kerosakan harta benda dan boleh meragut nyawa pengguna jalan raya mahupun penduduk yang berdekatan. Persoalan yang bermain dalam kotak fikiran kita ialah mengapakah fenomena ini boleh berlaku dan siapakah yang patut dipersalahkan? Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR), fenomena kejadian tanah runtuh ini berpunca daripada kegiatan pembalakan hutan secara berleluasa oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan akhirnya menyebabkan hakisan tanah. Oleh itu, terdapat beberapa cara untuk mengatasi kejadian tanah runtuh  yang mesti dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkenaan bagi mengatasi fenomena ini sebelum nasi menjadi bubur.

Antara cara untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara kita ialah pihak kerajaan seharusnya menanam semula pokok-pokok di cerun bukit terutamanya di kawasan yang telah dibangunkan . Usaha murni ini merupakan cara terbaik untuk menjaga cerun-cerun dan kawasan yang dibangunkan daripada terdedah kepada risiko kejadian tanah runtuh . Usaha tersebut juga dapat menguatkan tanah yang telah melalui proses pembangunan . Hutan rimba dan   bukit-bukau merupakan pasak kepada ekosistem bumi . Pembalakan dan penebangan hutan tanpa kawalan telah melonggarkan ikatan tekstur tanah menjadikan cerun longgar dan rebah . Di Malaysia , hujan lebat yang turun akan menyebabkan tanah di lereng bukit menjadi longgar dan menggelongsor . Oleh itu , pokok-pokok besar yang berakar dalam dan tanaman tutup bumi perlu ditanam untuk menyelamatkan kawasan pembangunan yang terdedah kepada cuaca yang tidak tentu serta hujan lebat . Hal ini dapat membantu menyekat pergerakan tanah daripada dibawa aliran air bawah tanah yang mampu menggelongsorkan tanah yang tidak stabil . Usaha menanam kembali pokok-pokok atautumbuhan-tumbuhan , dapat memampatkan kembali kelonggaran tanah akibat pembangunan . Sebagai contoh , kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kondominium Highland Tower  dan Bukit Antarabangsa masih lagi menjadi igauan rakyat akibat tidak mempedulikan cerun yang lemah berhampiran dengan kediaman . Janganlah diibaratkan seperti peribahasa , “ sudah terhantuk baru tengadah “ . Jelaslah bahawa peranan kerajaan bagi menanam semula pokok-pokok di cerun-cerun bukit amatlah penting bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh .








Selain itu , pihak kerajaan juga berperanan membina sistem perparitan yang terancang . Hal ini demikian kerana sistem perparitan yang terancang penting bagi membolehkan air hujan dari cerun bukit mengalir dengan baik dan terus ke longkang, sungai dan laut . Air tidak akan bertakung di sesuatu kawasan kecuali apabila  berlakunya banjir . Keadaan ini secara langsung boleh mengelakkan berlakunya hakisan tanah dan tanah runtuh . Sistem perparitan yang dibina dapat berfungsi sebagai benteng yang kukuh di lereng bukit . Sistem perparitan yang terancang juga dapat memadatkan struktur tanah di lereng bukit . Sekiranya tiada sistem perparitan dibina di lereng bukit , sudah tentu hujan lebat yang turun di kawasan bukit akan menyebabkan air bertakung dan terserap di kawasan lereng bukit melalui tanah sehingga  struktur tanah menjadi longgar dan tidak kukuh . Hal ini boleh mengundang padah seperti berlakunya banjir kilat , hakisan tanah dan tanah runtuh . Misalnya , peristiwa yang berlaku di Pos Dipang , Perak yang mengorbankan begitu banyak nyawa akibat banjir lumpur . Kawasan tanah tinggi yang dibangunkan pembangunan sangat berisiko dengan kejadian tanah runtuh dan aliran lumpur . Oleh itu , jelaslah pembinaan sistem perparitan yang terancang dapat mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara kita sebelum nasi menjadi bubur .

                                                 Pada realitinya , masalah tanah runtuh dapat diatasi persis pepatah Melayu ada mengatakan , “  tiada penyakit yang tiada penawarnya “ . Bukan setakat pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan malahan usaha bagi mengatasi kejadian tanah runtuh ini juga sepatutnya dimulakan daripada institusi kekeluargaan . Dalam hal ini , ibu bapa memikul tanggungjawab yang amat besar bagi memupuk semangat cinta akan alam sekitar dalam diri anak-anak sejak dari kecil lagi . Hal ini selaras dengan peribahasa , “ melentur buluh biarlah dari rebungnya “ . Ibu bapa haruslah sentiasa mendedahkan anak-anak tentang kepentingan menjaga alam sekitar . Namun begitu , mendidik sahaja tidak cukup , ibu bapa juga seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak . Sebagai contoh , ibu bapa tidak sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat serta melakukan pembalakan haram kelak yang boleh mengakibatkan kejadian tanah runtuh . Sikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul tidak sepatunya  diamalkan oleh ibu bapa . Sikap ini dapat dilihat pada ibu bapa yang mengajar anak-anak menjaga alam sekitar sedangkan mereka sendiri tidak berbuat demikian . Implikasinya , jika ibu bapa menunjukkan contoh teladan yang baik , sudah tentu anak-anak akan mencontohi sikap tersebut kerana ibu bapa merupakan sumber inspirasi kepada anak-anak .Dengan ini , nescaya kejadian tanah runtuh dapat diatasi sekaligus dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar yang semakin hari semakin tercemar akibat kerakusan manusia yang hanya mementingkan diri sendiri .




         Jika ditelusuri secara mendalam , antara langkah yang pragmatik ialah melalui peranan yang dimainkan oleh syarikat-syarikat pemaju . Syarikat-syarikat pemaju perlulah meneliti secara mendalam mengenai kawasan yang ingin dijadikan lokasi pembinaan serta tidak bersikap tergopoh gapah sebelum membangunkan sebarang pembangunan di kawasan tersebut . Mereka hendaklah melakukan pemeriksaan terlebih dahulu . Hal ini demikian untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku . Pemaju juga disarankan agar mendirikan bangunan atau tapak perumahan di tanah yang lapang dan rata . Mereka perlu mengelakkan membina rumah atau bangunan di kawasan yang berbukit bukau serta di kawasan yang berdekatan dengan sungai . Hal ini demikian kerana kawasan tersebut berisiko tinggi dalam mengundang berlakunya tanah runtuh . Bak kata peribahasa Melayu “sediakan payung sebelum hujan“ . Jelaslah bahawa peranan yang dimainkan oleh syarikat pemaju amatlah penting bagi mengatasi kejadian tanah runtuh yang mampu meragut nyawa penduduk Malaysia .

      Kesimpulannya , rakyat Malaysia masih mempunyai ruang usaha dan ikhtiar bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh . Usaha semua pihak amat diharapkan agar kejadian tanah runtuh ini dapat dielakkan . Setiap langkah keselamatan dan peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap tersebut boleh mengundang padah kepada rakyat . Elbert Hubbard pernah berkata , “ kebijaksanaan ialah keupayaan untuk bertindak pada masa yang benar-benar tepat . Jika kita tersilap langkah , kita diibaratkan , “ menconteng arang ke muka sendiri “ . Oleh sebab itu , pihak berkuasa janganlah mengambil sesuatu tindakan secara sambil lewa ibarat melepaskan batuk di tangga kerana apabila nasi sudah menjadi bubur , kita hanya akan menyesal buat selama-lamanya .