Selamat Datang Ke Blog Cikgu Harliza

Monday, 7 October 2013

Anda akan menyertai pertandingan pidato peringkat daerah. Tajuk pidato yang anda pilih ialah ‘Peranan Ibu Bapa Untuk Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja’.
Sediakan teks pidato anda selengkapnya.
         
                Assalamualaikum dan selamat sejahtera, salam 1Malaysia, salam Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau. Yang dihormati, panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia dengan tugasnya, serta para hadirin sekalian. Pada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk “Peranan Ibu Bapa Untuk Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja”.
Petang-petang mengutip ranting,
Ranting disorok di dalam guni;
Ibu bapa berperanan penting,
Agar gejala sosial dapat ditangani.
                Pantun empat kerat di atas sudah cukup menerangkan bahawa ibu bapa sememangnya perlu memainkan peranan dalam memastikan gejala sosial yang semakin berleluasa ini dapat ditangani. Marcapada ini,  kita sering melihat isu-isu gejala sosial semakin menjadi-jadi dan seringkali  terpampang di dada akhbar dan corong-corong media yang lain. Remaja masa kini seolah-olah sudah tidak ‘segan’ untuk melakukan perkara-perkara terkutuk ini, malah bangga melakukannya.  Gejala sosial ini, secara spesifiknya juga  merupakan salah satu jenayah dan antara contoh gejala sosial yang sering berlaku dewasa ini termasuklah pergaulan bebas, vandalisme, pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah dan lumba haram. Gejala-gejala ini bukan sahaja menghancurkan masa depan anak-anak muda kita, yang juga merupakan harapan bangsa, malah menyebabkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat. Perbuatan ini juga boleh menyebabkan masalah-masalah lain yang memberi impak yang sangat besar terhadap institusi kekeluargaan, bangsa, agama dan negara. Oleh yang demikian, sudah menjadi satu tanggungjawab golongan yang terdekat dengan anak muda ini iaitu ibu bapa mereka sendiri, untuk memainkan peranan penting dalam menangani masalah gejala sosial dalam generasi muda.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,

                Berdasarkan penegasan tersebut, antara peranan ibu bapa dalam menangani gejala sosial dalam kalangan remaja termasuklah dengan memberikan didikan agama yang sempurna. Hal ini demikian kerana, anak-anak perlu didedahkan dengan ilmu-ilmu agama yang banyak mengajar adab-adab serta nilai murni yang perlu diamalkan dalam kehidupan, sebagai satu benteng daripada masalah gejala sosial. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghantar anak-anak ke kem keagamaan, kelas-kelas fardhu ain, mahupun membawa mereka ke ceramah agama yang kebiasannya diadakan di mana-mana surau ataupun masjid. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”, sememangnya jika ibu bapa memberi penekanan ini terhadap anak-anak sejak dari kecil, mampu membuatkan mereka tidak akan ‘tergelincir’ ke kancah penuh sengsara iaitu merujuk kepada gejala sosial. Hal ini kerana, walaupun sekali anak-anak muda ini termasuk ke dalam masalah ini, amat sukar bagi mereka untuk kembali ke pangkal jalan. Oleh itu, cukup diterangkan  di sini bahawa didikan agama yang sempurna mampu menangani gejala sosial dalam kalangan remaja.

Hadirin yang dihormati sekalian,

                Tidak cukup dengan itu, ibu bapa juga seharusnya memberikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Hal ini disebabkan, mengikut kajian, anak-anak kebiasannya akan terjebak dengan gejala sosial atau kes-kes jenayah yang lain kerana tidak mendapatkan kasih sayang dan perhatian ibu bapa. Namun dalam kajian yang sama telah dibuktikan bahawa perhatian dan kasih sayang yang dicurahkan ibu bapa terhadap anak-anak memapu membendung mereka daripada terlibat dengan gejala sosial. Ditambah pula dengan cabaran masa kini, ibu bapa kebanyakkannya mempunyai karier masing-masing, sehingga menjadi terlalu sibuk untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa, sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu kepada pengasuh yang diupah. Tamsilnya, ibu bapa perlu meluangkan masa dengan anak-anak terutama pada hujung minggu, sama ada menghabiskan masa bersama di rumah mahupun membawa mereka makan angin. Seharusnya ibu bapa menjaga dan menghargai anak-anak bagai menatang minyak yang penuh kerana anak-anak ini sememangnya satu anugerah dari Tuhan yang tidak ternilai. Secara tidak langsung, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan lagi, dan masalah gejala sosial dapat dihindari. Jelaslah di sini, bahawa perhatian dan kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa mampu menangani gejala sosial dalam kalangan remaja.

Hadirin sekalian,

                Selain daripada itu, ibu bapa juga seharusnya mengisi masa anak-anak dengan perkara yang berfaedah. Hal ini disebabkan, sekiranya masa anak-anak diisi dengan perkara yang berguna, sekurang-kurangnya mereka akan belajar cara menghargai masa dan secara tidak langsung mendapat manfaat untuk kehidupan mereka. Sebagai contoh, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak beriadah dan bersenam, bergotong-royong di rumah mahupun menghantar mereka ke kelas-kelas tambahan. Melalui kaedah ini, hari-hari mereka akan dipenuhi dengan perkara yang bermanfaat, dan mereka tidak akan ada masa untuk berleka mahupun melibatkan diri dengan perkara-perkara negatif. “Masa itu emas”, itulah ungkapan yang sering kita dengar dan ungkapan itu juga sebenarnya menyuruh kita menghargai masa. Tempoh 24 jam sehari kita setiap hari perlulah dipenuhi dengan ilmu, pengalaman, amal ibadat, kebaikan dan aktiviti-aktiviti sihat kerana setiap manusia di muka bumi ini memerlukannya. Ibu bapa digalakkan untuk memantau segala aktiviti anak-anak sama ada di sekolah mahupu  di luar sekolah, dan lebih baik lagi menyediakan jadual waktu harian untuk mereka, yang perlu diisi dengan waktu belajar, beriadah, beribadah dan beramah mesra dengan keluarga atau bergaul dengan masyarakat. Dengan cara ini, anak-anak akan lebih teratur, dan masa mereka tidak dibazirkan dengan perkara yang tidak berguna. Cukup dijelaskan di sini bahawa mengisi masa anak-anak dengan perkara yang berfaedah mampu menangani gejala sosial dalam kalangan remaja.

Para hadirin yang dirahmati,

                Akhir sekali, peranan ibu bapa dalam menangani gejala sosial termasuklah dengan menjadi suri teladan yang baik terhadap anak-anak. Seperti yang diketahui, ibu bapa merupakan golongan yang paling hampir dengan anak-anak, dan disebabkan itu, mereka merupakan golongan yang paling tepat untuk mejadi suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak bukan sahaja melalui sahsiah diri, malah dari segi pertuturan bahasa, pergerakan, adab sopan dan amal kebaikan yang dilakukan. “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya”, begitulah yang dikatakan melalui peribahasa orang Melayu kita. Keperibadian anak-anak bergantung kepada bagaimana cara ibu bapa melatih dan membentuk mereka. Sekiranya anak-anak disematkan dengan ‘sulaman’ kebaikan, maka anak-anak akan mejadi individu yang lebih baik dan begitulah sebaliknya. Sekiranya ibu bapa tidak menjadi contoh ikutan terbaik, maka bagaimanakah anak-anak ingin menjadi individu yang baik dan berakhlak mulia? Anak-anak ini merupakan penentu hala tuju negara, dan seelok-elonya mereka dibentuk dan diajar untuk menjadi individu yang berkualiti. “Sudah terang lagi bersuluh”, sememangnya ibu bapa yang menjadi suri teladan yang baik terhadap anak-anak mampu membendung mereka daripada terlibat dengan gejala sosial.

Hadirin sekalian,
                Secara keseluruhan, gejala sosial ini sebenarnya boleh ditangani dengan mudah sekirannya ibu bapa berjaya mendidik dan membentuk anak-anak dengan sebaik-baiknya. Sekiranya ibu bapa amat menitikberatkan isu ini, maka dengan mudah masalah gejala sosial yang berlaku dalam generasi muda kita masa kini akan dapat dibendung, seterusnya negara akan dapat melahirkan lebih lagi generasi muda yang berkualiti dan berkemampuan untuk mentadbir negara. Sanggupkah kita melihat negara kita dipimpin oleh orang asing dan bukannya anak watan? Sanggupkah kita melihat anak-anak kita menjadi buruan pihak berkuasa kerana terlibat dengan jenayah? Adakah tempoh sembilan bulan sepuluh hari kita menjaga mereka di dalam kandungan, dan beberapa tahun membesarkan mereka dengan mengorbankan wang, masa dan tenaga dapat dibalas sekiranya mereka terlibat dengan masalah sebegitu?  Sudah tentu tidak, oleh itu, langkah awal harus diambil dan ibu bapa perlu mula memainkan peranan masing-masing kerana peribahasa ada menyebut, “mencegah itu lebih baik daripada merawat”. Ingin saya tegaskan sekali lagi di sini bahawa, gejala sosial yang berlaku dalam kalangan remaja masa kini tidak akan dibendung tanpa usaha dan peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa.

                Sekian sahaja pidato saya pada kali ini, saya ingin memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa mahupun tersilap bahasa sepanjang saya menyampaikan pidato sebentar tadi. Saya berharap, agar hadirin sedikit sebanyak mendapat pengajaran dan ilmu tambahan daripada pidato itu tadi dan dalam masa yang sama saya juga berharap agar hadirin yang berada di hadapan saya ini tidak terlibat dengan gejala sosial seperti yang dipertekankan dan menjadi antara generasi yang berguna untuk masyarakat di masa hadapan. Sebelum saya mengundur diri, ingin saya sampaikan serangkap pantun;

Berjalan kaki pergi ke pekan,
Sambil melihat mentari pagi;
Salah dan silap harap dimaafkan,
Kalau ada umur bertemu lagi.

Sekian, terima kasih dan assalamualaikum. 

4 comments:

  1. INGIN CEPAT JADI JUTAWAN YUK MARI GABUNG SEKARANG JUGA

    KharismaPokerMenjadiSitusBandarQOnlineTerprcayaIndonesia
    Promo yang diberikan :
    Minimal DP dan WD Rp. 20.000.
    Support bank lokal : BCA, BNI, BRI, MANDIRI, dan DANAMON.
    Bisa dimainkan di iPhone, Android, PC / Laptop.
    Online 24 jam setiap hari meskipun hari libur nasional.
    Link Alternatif Kharismapoker :
    www.khpk288.net
    www.kharismapkr.com
    www.kharismaqiu.com
    CS nya yang ramah , siap melayanani anda 24 jam
    Bonus REFERRAL 20% setiap minggunya (seumur hidup)
    Bonus CASHBACK 0.3- 0,5% setiap hari
    Contact resmi kharismaPoker :

    Telp :+85588278896
    BBM;dc7cdd80
    WA: +85588278896

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum...minta keizinan utk mengambil isi2 teks bole

    ReplyDelete